Agamawan sudah tidak relevan di saat negara berkabung

Lebih 7 bulan Pakatan Harapan (PH) mengejar musuh politiknya atas nama memerangi rasuah, janji yang berjaya mengangkatnya sebagai pemerintah negara.

Sebahagian usaha itu berjaya, dengan kebanyakan rakyat Malaysia mengharapkan pengakhiran terhadap era tragik salah urus kekayaan dan potensi negara.

Sejurus mengambil alih kerajaan, PH menubuhkan jawatankuasa pembaharuan di bawah Majlis Penasihat Kerajaan, yang kini dibubarkan.

Ketika rakyat Malaysia masih menunggu beberapa pembaharuan struktur yang bermakna, keadaan bertukar menjadi lebih teruk.

Institusi Islam negara ini, contohnya, terus menjadi gelanggang individu yang boleh bertindak sesuka hati tanpa dikenakan tindakan, berbanding orang biasa yang akan dipenjarakan jika melakukan perkara sama.

Contoh terbaru ialah kenyataan dikeluarkan mereka yang digelar ulama dan mufti, susulan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kematiannya diratapi kebanyakan rakyat Malaysia, dengan ramai yang berang atas tragedi tidak sepatutnya berlaku itu. Sekurang-kurangnya, pemergian anggota bomba itu disanjung kerana sanggup melecur sana sini dengan gaji serendah RM2,000 sebulan.

Pujian harus diberikan kepada majoriti rakyat negara ini kerana tetap tenang walaupun segelintir pengguna media sosial cuba mencetuskan naratif perkauman berhubung tragedi itu.

Seorang pemimpin di awal pembentukan Malaysia pernah berkata, jika pergaduhan antara seorang Melayu dan seorang Cina di kedai kopi tidak tersebar sehingga mencetuskan rusuhan kaum, maka rakyat Malaysia menjadi matang dan keharmonian kaum tercapai.

Adib, seorang Melayu dan Islam, meninggal dunia disebabkan kecederaan yang berpunca daripada orang bukan Melayu dan bukan Islam. Beberapa dekad lalu, tindakan itu akan mencetuskan rusuhan kaum.

Mujur pemimpin utama kerajaan dan pembangkang segera menunjukkan kematangan dengan meminta keadilan melalui undang-undang.

Tetapi, apakah kematangan sedemikian ditunjukkan individu bergelar agamawan, mereka yang sepatutnya menjadi tempat rujukan dan bimbingan untuk menjadi seorang umat Islam yang baik?

Jawapannya tentu tidak, jika kita menganggap sikap mendiamkan diri sesetengah pemimpin Islam mahupun kenyataan mereka yang dimuat naik ke media sosial, yang cuba membangkitkan sifat dendam orang Islam.

Seorang daripada mereka menggunakan prinsip hutang darah dibayar darah sebagai maklum balas Islam sewajarnya terhadap kematian Adib.

Walaupun polis memberi amaran tidak menimbulkan sebarang provokasi, ulama ini masih bebas. Individu lain akan diberi amaran, diburu dan disiasat.

Ironinya, sesetengah cendekiawan Islam ini dipertanggungjawabkan untuk menasihat kerajaan mengenai pembaharuan institusi Islam di negara ini.

Baru-baru ini, kita dengar satu lagi frasa Arab yang digunakan untuk menunjukkan peranan positif boleh dimainkan prinsip Islam dalam negara berbilang kaum.

Frasa itu ialah “rahmatan lil alamin”, atau rahmat untuk seluruh alam, dan penyokong utamanya adalah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam.

Tetapi, jelas sekali keindahan Islam ialah perkara terakhir yang akan ditemui dalam kalangan elit agama yang dibayar gaji, di mana jubah mereka menyapu lantai marmar digilap di pejabat mereka.

Episod Adib, seperti kisah 1MDB selama 3 tahun sebelum pilihan raya umum Mei lalu, membuktikan mereka yang bertanggungjawab membimbing umat Islam, sebenarnya orang yang perlu dibimbing terlebih dahulu.

Ia juga adalah permulaan kepada langkah birokrasi Islam yang tidak relevan dalam menggambarkan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Abdar Rahman Koya adalah ketua pengarang FMT.