Anak Musa Aman angkat sumpah ahli Parlimen Sipitang bulan depan

Yamani Hafez Musa belum mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Sipitang sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang belum mengangkat sumpah ke jawatan, akan berbuat demikian pada 7 Januari ini.

Awal bulan ini, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memberi amaran terakhir kepada anak bekas ketua menteri Sabah itu untuk mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen atau beliau akan hilang kelayakan.

Pejabat speaker Dewan Rakyat dalam satu kenyataan hari ini berkata, majlis angkat sumpah itu akan berlangsung di depan Ariff pada 10 pagi, 7 Januari ini.

Seramai 220 daripada 222 ahli Parlimen mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat, 16 Julai lalu.

Yamani memenangi kerusi Parlimen Sipitang dengan majoriti 852 undi dalam pertembungan 3 penjuru, selepas menewaskan pencabar terdekatnya, Noor Hayaty Mustapha daripada Warisan.

Pada 12 Disember lalu, bekas ketua Umno Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengetuai 36 wakil rakyat dan pemimpin kanan meninggalkan parti itu. Walaupun tidak hadir, Yamani dikatakan turut bersama kumpulan itu meninggalkan Umno.