Apa agaknya perbualan KJ, Nurul Izzah dan Rafizi di Bangsar?

Baru-baru ini viral beberapa keping gambar foto menunjukkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar duduk semeja bersama Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli serta Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di sebuah restoran di Bangsar Shopping Complex, Kuala Lumpur.

Pertemuan yang tidak dijangka oleh sesiapa itu bagaimanapun berjaya menarik perhatian pengunjung restoran tersebut yang segera merakam gambar mereka selain berkongsi kepada sebuah akhbar tempatan.

Menurut laporan BH Online, pertemuan itu berlangsung kira-kira pukul 12 tengah hari semalam selama lebih 2 jam kerana pada pukul 1.30 petang mereka masih kusyuk berbincang sesuatu dengan mesra.

Mungkinkah pertemuan itu bagi memujuk Puteri Reformasi supaya tidak meninggalkan dunia politik ekoran tindakannya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, kelmarin.

Tambah laporan itu lagi, ketiga-tiga ‘pewaris negara’ itu kelihatan ceria sepanjang pertemuan walaupun berbeza fahaman politik.

Sementara itu, dalam satu entri akaun Twitter terbaru, Khairy memuji ketokohan Nurul Izzah sepanjang berkecimpung dalam dunia politik sebagai seorang pemimpin contoh.

Malah, Rafizi pula mendedahkan beliau dan 2 lagi ahli politik itu memang beerapa kali berjumpa untuk makan tengah hari bersama.

Rafizi dilaporkan berkata, Izzah tidak akan berundur dari politik sebaliknya akan terus memainkan peranan penting di Parlimen dan politik negara.