Mahkamah tolak permohonan representasi Jamal

Mahkamah tolak permohonan representasi Jamal

Mengikut pertuduhan itu, Jamal Yunos bersama 5 lagi lelaki didakwa melakukan pencerobohan di premis hiburan di Taman Kosas, Ampang pada 29 Disember 2016.

Jamal Yunos berdepan pertuduhan menceroboh, lari dari tahanan polis dan meninggalkan Malaysia tanpa laluan yang dibenarkan.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Peguam Negara menolak representasi Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang didakwa melakukan pencerobohan di sebuah pusat hiburan, 2 tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak memaklumkan perkara itu di hadapan Majistret Haslida A Raof dalam sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Haslinda kemudian menetapkan perbicaraan semula kes pada 26, 27 dan 28 Mac tahun depan.

Mengikut pertuduhan itu, Jamal bersama 5 lagi lelaki didakwa melakukan pencerobohan di sebuah premis hiburan di Taman Kosas, Ampang pada 29 Disember 2016.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menetapkan 7 hari perbicaraan bermula 18 Februari tahun depan bagi sebutan 3 lagi kes lain yang dihadapi Jamal.

Bagi tuduhan pertama, Jamal bersama-sama seorang lelaki yang dituduh dan seorang lelaki yang masih bebas didakwa melakukan pencerobohan di sebuah lagi kedai di Taman Kosas pada 29 Disember 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ke-2, Jamal didakwa dengan sengaja melarikan diri dari tahanan polis pada 25 Mei di sebuah hospital swasta semasa dalam proses dokumentasi jaminan bagi beberapa pertuduhan jenayah terhadapnya.

Jika disabitkan kesalahan, Jamal akan berdepan penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan ke-3 pula, Jamal didakwa tanpa sebab-sebab yang munasabah meninggalkan Malaysia tanpa melalui laluan yang dibenarkan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen Pindaan 2002 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim.

Sementara itu, Jamal menyifatkan keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden Umno kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai tindakan tepat bagi memulihkan kepimpinan parti itu yang goyah kerana ramai pemimpinnya keluar parti.

Beliau turut bersetuju dengan tindakan bekas pemimpin Umno melompat parti yang dilihat mampu memberi sokongan kepada pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) ini tidak seimbang. Maksud saya tidak seimbang, apabila perdana menteri (dari PPBM) yang dilantik hanya ada 13 kerusi dan tambah lagi kerusi lompat, iaitu 2 jadi 15 kerusi.

“Parti lain (dalam PH) ada 40 lebih kerusi, jadi sudah pasti keadaan tidak stabil sebagai seorang perdana menteri untuk membuat keputusan dan keputusan yang dibuat itu barangkali dipengaruhi jumlah kerusi.

“Dengan adanya sokongan daripada ahli-ahli Parlimen Umno itu, mungkin keputusan yang dibuat oleh perdana menteri itu lebih tepat dan stabil untuk rakyat,” katanya selepas prosiding sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Jamal berkata, penyertaan bekas pemimpin Umno dalam PPBM bakal memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk mendapat lebih banyak sokongan, khasnya membabitkan kepentingan orang Melayu.

“Kami bimbang sebenarnya, melalui perbincangan yang telah dibuat melihatkan keadaan semasa ini banyak aset atau kepentingan orang Melayu sendiri seperti Tabung Haji, Risda dan sebagainya mula dipertikaikan.

“Soalnya kenapa hanya agensi-agensi yang melibatkan kepentingan orang Melayu Islam sahaja dirobek setiap hari?

“Melihat keadaan ini, kami percaya kedudukan perdana menteri perlu mendapat sokongan daripada ahli Parlimen Melayu beragama Islam. Saya bukan rasis, tapi melihat keadaan yang telah berlaku selama 7 bulan ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.