Pegawai parti nafi pimpinan Warisan berpecah

Pegawai parti nafi pimpinan Warisan berpecah

Pegawai khas Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking berkata majikannya dan Naib Presiden Peter Anthony mempunyai hubungan yang baik.

Tiada permusuhan antara Timbalan Presiden Darell Leiking dan Naib Presiden Peter Anthony, kata penyokong.
KOTA KINABALU:
Seorang pegawai parti hari ini menepis komen penganalisis mengatakan Warisan berdepan perpecahan kerana pertembungan untuk jawatan timbalan presiden.

Christopher Masudal, pegawai khas kepada Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking, berkata tidak ada permusuhan antara majikannya, yang juga timbalan presiden Warisan, dan Naib Presiden Peter Anthony.

Christopher Masudal.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu mempunyai hubungan yang baik.

“Saya percaya khabar angin disebarkan oleh mereka yang didoktrinkan dengan konsep ‘pecah dan perintah’ yang terkenal dengan Barisan Nasional yang memerintah Sabah selama 24 tahun.

“Jadi kita boleh faham mereka perlukan masa untuk terima hakikat bahawa untuk Sabah Baru menjadi maju, polarisasi kaum perlu membuka jalan kepada ‘Bangsa Sabah’.

“Jadi nasihat saya kepada ahli parti adalah jangan terlalu cepat terlibat dalam perbincangan kaum yang beremosi dan tidak menggunakan isu kaum hanya untuk menang debat,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas desas-desus Leiking akan dicabar Anthony pada pemilihan parti pada April, penganalisis Arnold Puyok dari Universiti Malaysis Sarawak berkata Warisan tidak mempunyai ideologi pelbagai kaum yang kuat dan oleh itu terdedah keapda perpecahan.

Leiking, seorang menteri perdagangan antarabangsa dan industri di kerajaan persekutuan, adalah seorang Kadazan. Anthony, seorang exco pembangunan infrastruktur di kerajaan negeri, adalah seorang Dusun.

Mereka dilihat sebagai pemimpin mewakili komuniti masing-masing, walauun Kadazan dan Dusun, bersama Murut, tergolong dalam 1 komuniti iaitu KDM.

Politik kaum

Spekulasi tentang cabaran terhadap Leiking itu berlegar sepanjang tahun tetapi semakin kencang mutakhir ini.

Masudal berkata dia terbaca laporan berita mengenai isu yang sama ditonjolkan oleh Puyok, dan berkata “ia mungkin kerana pihak tertentu cemburu akan hasil kerja Darell sebagai menteri. Jadi, mereka mahu menghasut ahli parti dan menghancurkan Warisan dari dalam.”

Masudal menepis hujah Puyok mengatakan Warisan tidak mempunyai ideologi yang kuat atau platform pelbagai kaum.

“Semasa kempen pilihan raya PRU14, Warisan dihujani tuduhan sebagai parti Suluk atau pendatang tanpa izin.

“Tetapi Warisan bertahan dan pemimpin seperti Darell, Loretto Padua Jr, Junz Wong dan Terrence Siambun melawan serangan-serangan perkauman terhadap kaum Suluk.

“Kalau mempertahankan satu kaum di Sabah tidak dianggap kepelbagaian kaum, jadi saya tak pasti apa ertinya,” katanya.

Beliau menarik perhatian kepada analisis Puyok pada 2 Mei 2018 di satu wacana di Universiti Nottingham.

“Dia tersasar apabila dia berpendapat Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal tidak mendapat sokongan komuniti Kadazan, Dusun dan Murut dan Warisan akan gagal memberi impak di kawasan-kawasan kaum itu,” kata Masudal.

Maka, analisis Puyoh tentang dinamik politik dalam Warisan, yang berdasarkan khabar angin, juga mungkin salah, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.