Pemandu teksi tunjuk perasaan #reformasiteksi, desak peluang sama rata

Pemandu teksi dan kereta sewa memakai baju-T dengan perkataan ‘#reformasiteksi’ ketika tunjuk perasaan di Butterworth, hari ini.

BUTTERWORTH: Sekumpulan kira-kira 100 pemandu teksi dan kereta sewa hari ini mengadakan tunjuk perasaan mendesak kerajaan negeri membuat “reformasi” bagi membantu mereka mendapat peluang sama rata dengan pemandu perkhidmatan e-hailing.

Setiausaha Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Penang Sentral, Supramaniam Chinasamy berkata, pemandu teksi dan kereta sewa “hampir jadi miskin” disebabkan perkhidmatan e-hailing.

Bercakap di tunjuk perasaan di Padang Datuk Haji Ahmad Badawi, beliau berkata, keadaan di Butterworth sangat mendesak sejak perkhidmatan aplikasi e-hailing diperkenalkan di Seberang Perai 3 tahun lalu.

Perkhidmatan e-hailing bermula di Pulau Pinang pada 2015 dan mengembangkan sayap ke Seberang Perai setahun kemudian.

“Kami minta kerajaan janganlah gadai kehidupan pemandu teksi dan kereta sewa,” kata Supramaniam, menggesa Menteri Loke Siew Fook mengkaji masalah mereka dengan segera.

“Kami tidak mahu Grab atau lain-lain jenis perkhidmatan mengambil perniagaan kami hingga menjadikan kami miskin,” katanya.

Supramaniam, 71, berkata dia cuma dapat 2 perjalanan setiap hari pada masa sekarang, dengan pendapatan antara RM30 dan RM40 berbanding RM80 hingga RM100 sebelum e-hailing diperkenalkan.

“Apakah cukup untuk membeli makanan buat keluarga kami?’ dia mengaju soalan.

Pemandu teksi bercakap dengan pembantu kepada wakil rakyat (kanan, berbaju putih) sebelum menyerahkan memorandum untuk disampaikan kepada kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, mereka juga perlu membayar untuk penyelenggaraan, pemeriksaan dan premium insurans kenderaan.

Supramaniam berkata ramai pemandu teksi diminta menyertai perkhidmatan e-hailing tetapi ia sukar dilakukan.

Beliau menjelaskan pengguna lebih gemar kenderaan e-hailing walaupun aplikasi membenarkan pengguna memanggil teksi.

Supramaniam menegaskan, mereka sudah lama menjalankan khidmat teksi dan kereta sewa dan tidak bercadang untuk meninggalkannya.

“Kami cuma mahu kerajaan bersikap adil dan berikan kami peluang sama rata,” katanya.

Sebelum itu, mereka memakai baju-T kuning tertera “#reformasiteksi” dan mempamerkan plakad.

Supramaniam kemudian menyerahkan memorandum kepada pembantu wakil rakyat, menggesa kerajaan Pulau Pinang campurtangan.

Antara tuntutan mereka mewajibkan pemandu e-hailing mendapatkan lesen kenderaan perkhidmatan awam, pemeriksaan berkomputer untuk kenderaan, dan mematuhi peraturan pemandu teksi.