
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun dalam sidang media hari ini berkata, tempoh berkempen selama 14 hari dan hari pengundian awal ialah 22 Januari ini.
Bulan lalu, Mahkamah Pilihan raya membatalkan kemenangan Datuk C Sivarraajh di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, selepas mendapati wang digunakan untuk membeli undi pada tempoh berkempen.
Minggu lalu, Sivarraajh yang juga naib presiden MIC dilaporkan tidak akan mencabar keputusan mahkamah itu dan Barisan Nasional memilih untuk berjuang demi rakyat dalam PRK berbanding ke Mahkamah Persekutuan.
Cameron Highlands ialah kerusi tradisi MIC yang dimenangi Sivarraajh pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan majoriti 597 undi.
Azhar berkata, daftar pemilih setakat suku ke-3 tahun ini yang dikemas kini 14 Disember lalu akan digunakan bagi PRK itu.
Katanya, seramai 32,009 pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRK bulan depan, termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.
Seramai 811 pegawai pilihan raya akan mengendalikan PRK itu di 31 pusat mengundi dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.
Beliau berkata, siaran langsung proses mengundi akan diadakan, tetapi bergantung kepada kualiti kemudahan jalur lebar di Cameron Highlands.