Saya tak terima aduan salah laku Zahid dalam pemilihan, kata Annuar

Annuar Musa berkata, peraturan Umno menetapkan tempoh tertentu untuk ahli mengemukakan bantahan berhubung pemilihan parti.

PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa menolak laporan ahli Umno sudah membuat aduan kepadanya berhubung salah laku Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan parti Jun lalu.

“Tidak ada (laporan salah laku Zahid) yang sampai pada saya,” kata setiausaha agung Umno itu kepada FMT.

Beliau mengulas laporan FMT semalam yang memetik sumber sebagai berkata, ahli Umno membuat aduan salah laku membabitkan Zahid pada 5 Julai lalu, sebaik sahaja pemilihan presiden dan Majlis Tertinggi selesai akhir Jun lalu.

Bagaimanapun, sumber itu mendakwa Lembaga Disiplin Umno dan Annuar tidak mengendahkan laporan itu.

Penafian Annuar itu sama dengan laporan New Straits Times (NST) semalam yang Umno tidak menerima sebarang aduan salah laku dalam pemilihan parti, termasuk membabitkan Zahid.

Ditanya jika pengadu perlu menyerahkan semula laporan mereka kepadanya untuk tindakan lanjut, Annuar berkata, ada tempoh tertentu untuk ahli mengemukakan bantahan.

“Untuk parti, ada ‘time frame’ seperti dalam peraturan,” katanya.

Ahad lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan Jumaat lalu, berhubung dakwaan rasuah mengaitkan Zahid dalam pemilihan Umno.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya mendakwa Zahid menyogok ahli parti untuk memenangi jawatan presiden.

NST pula memetik SPRM sebagai berkata, pihaknya mempunyai asas untuk mendakwa Zahid terbabit dalam politik wang dan ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan didakwa mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009 kerana memberi atau menerima suapan daripada ejen.

Difahamkan, ia membabitkan RM150,000.

Zahid memenangi jawatan presiden pada 30 Jun lalu, selepas mengalahkan 2 pesaing terdekatnya, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.