Sambutan hari Krismas di pusat-pusat membeli-belah pastinya lebih meriah dan kaya dengan dekorasi berunsur fantasi.

Kanak-kanak antara yang paling teruja memandangkan kebanyakan dekorasi ini lazimnya dikaitkan dengan rancangan kartun atau filem kegemaran ataupun serasi dengan sifat mereka yang penuh keseronokan.

Setiap tahun, acapkali sambutan Krimas, pusat beli-belah menjadi lokasi sambutan yang ditunggu-tunggu. Ini termasuk susunan pelbagai aktiviti sambil membeli-belah, peluang bergambar dalam latar suasana yang baru dan pelbagai program hiburan untuk kanak-kanak disediakan oleh pihak pengurusan pusat beli-belah itu.

FMT Ohsem menyenarai 7 lokasi pusat beli-belah di sekitar Lembah Klang yang menyediakan dekorasi Krismas paling menarik untuk tahun ini. Mana tahu, hujung minggu ini bolehlah diluangkan dalam suasana sambutan Krismas yang gah dan hebat ini.

KLCC

Sambutan Krimas di KLCC tahun ini bertema ‘Whimsical Christmas’. Anda semua akan merasakan seperti tinggal di dunia Nutcrackers jika singgah ke KLCC sempena Krismas.

Di mana lagi anda boleh bertemu dengan tentera Nutcracker kalau bukan di Center Court KLCC berhadapan rumah salji, di mana mereka diatur menjalankan tugas sebagai pengawal. Comelnya!

Gunakan peluang ini untuk bergambar bersama dengan keluarga di Esplanade (mengadap tasik) di antara pokok Kristmas paling tinggi di Malaysia yang telah diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas.

1 Utama

Bertemakan ‘A Glistening Christmas’, pusat beli-belah ini menyediakan glob Kristal gergasi holografik di mana anda boleh melihat diri dalam refleksi cermin dari setiap sudut. Yang pasti, dekorasi berunsur futuristik ini akan memberi pengalaman yang jauh berbeza dari pokok Krismas yang biasa.

Tema tahun ini agak moden dan bolehlah berselfie di setiap bahagian glob seperti bayangan cerita Narnia.

Pavillion

Tahun ini The Walt Disney Malaysia dan Pavillion Mall menyambut Krismas dengan keajaiban yang bertemakan ‘Merry Mickey Christmas’.

Jangan lepaskan peluang bergambar dengan arca Mickey dan Mickey Mouse setinggi 6 meter.

Bukan itu sahaja, terdapat 1,000 figura Mickey yang diatur menjadi pokok Krismas. Figura Mickey berukuran 15cm itu dihasilkan oleh warga Malaysia dengan kerjasama Disney dan rakan kongsi Pavillion.

Manakala di bahagian luar, keseronokan alam Disney masih belum berakhir. Jika anda membawa anak perempuan yang amat meminati Frozen, inilah waktunya untuk mendedahkan mereka dengan suasana musim salji seperti dalam filem Frozen, bertema ‘Frozen Show Globe’.

Mid Valley

Mid Valley menyambut krimas dengan cara yang berbeza, iaitu menerusi konsep karnival Krismas di Centre Courtnya.

Karnival yang diatur dalam khemah berjalur merah putih ini diadakan untuk kanak-kanak bergembira sambil menonton sarkas diserikan dengan lampu berwarna-warni.

Sunway Putra Mall

Di negara barat, pasti ada orang yang tinggal di dalam perkampungan hutan dan menyambut Krismas dikelilingi pelbagai jenis pokok dan dalam suasana hutan. Di Sunway Putra, mereka memilih tema ‘Forest Gnomes’ untuk memberi pengalaman menyambut Krismas dalam suasana penuh unik ini.

Apabila anda singgah di sini, ia seperti di dunia yang baru, di hutan disusun untuk memberikan pengalaman yang indah, cantik dan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Atria Shopping Gallery

Selalunya perhiasan krismas membabitkan pokok Krisman dan cahaya lampu yang berwarna-warni? Tetapi di Atria Shopping Gallery arca Bumblebee menjadi tarikan utama selain pokok Krismas.

Arca Bumblebee dari Transformers dipamerkan di sini pasti membuatkan peminatnya teruja.

Anda juga pasti tidak sabar untuk menonton filem Bumblebee yang dijangka disiar pada 20 Disember ini.

The Curve, Mutiara Damansara

Sambutan Krismas dengan lollipop gergasi dan tongkat gula-gula yang tergantung di siling pastinya mengimbau kenangan sewaktu kecil. Ia adalah antara tarikan yang pasti memikat kanak-kanak dan golongan dewasa yang menggemari gula-gula.