Bekas peguam Anwar dilantik anggota lembaga penasihat DBKL

Nair menyifatkan pelantikan itu sebagai perkembangan melucukan kerana beliau pernah menyeret DBKL ke mahkamah sebelum ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang peguam yang pernah mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat beliau dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

S N Nair dan 8 individu lain menerima surat pelantikan masing-masing daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pengerusi lembaga, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Pelantikan itu yang berkuatkuasa dari 1 Nov dibuat oleh menteri wilayah persekutuan di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1969 dan dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peranan anggota lembaga penasihat tersebut adalah sama seperti ahli majlis perbandaran.

Nair menyifatkan pelantikan itu sebagai perkembangan melucukan kerana beliau pernah menyeret DBKL ke mahkamah sebelum ini, termasuk atas kapasiti peribadi berikutan kerosakan kereta beliau akibat banjir di tingkat bawah sebuah parkir kenderaan di Dataran Merdeka.

Beliau juga pernah mewakili menteri industri utama sekarang, Teresa Kok dan Persatuan Pengguna Kuala Lumpur yang menyaman Datuk Bandar KL tahun lepas kerana melantik Yayasan Wilayah Persekutuan sebagai pengutip bayaran parkir. Kes itu bagaimanapun ditolak.

Nair dilantik sebagai pengerusi Lembaga Getah Malaysia pada Julai tahun ini.

Berikutan pelantikan beliau ke DBKL, Nair berkata, keutamaan beliau ialah menjamin persekitaran hidup lebih baik untuk penduduk Kuala Lumpur.

“Kita mahu lihat DBKL memperuntukkan lebih banyak sumber untuk pembangunan,” katanya.

Lantikan lain ialah Suhana Husni (Kementerian Kewangan), Zahir Hassan (MRCB Builders Sdn Bhd), Abdul Rahman Hussein (APEX Communications Sdn Bhd), Ahmad Thamby Kadir (Ikhtisas Ingenieurs Sdn Bhd), Khairiah Talha (KW Associate Planners Sdn Bhd), Sally Sian Keng Eng (Cosmo Human Resources Bhd), Ismail Ngah (International Federation of Landscape Architects) dan Azli Yusof (Dexion Asia Sdn Bhd).

3 lagi anggota lembaga ialah Abdul Ghani Pateh Akhir (mewakili kerajaan negeri Selangor), Fateh Iskandar (Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia) dan Ezumi Harzani Ismail (Institut Arkitek Malaysia).