Bila sebut nama aktor, Benjy mesti terbayang wajah ibunya, pelakon legenda Azean Irdawaty yang memiliki kebolehan luar biasa dalam dunia lakonan.

Benjy sendiri mempunyai kehebatan dalam lakonan, namun kebolehan itu ‘ternokhtah’ apabila dia terlibat dengan najis dadah dan kini di tahan di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia.

Lebih menyedihkan lagi, pemilik nama Khaeryll Benjamin Ibrahim yang terpaksa menerima hukuman selama 11 tahun itu, dikhabarkan menderita penyakit asma teruk.

Maklumlah apabila di penjara, pelbagai kuman dan bakteria ‘berterbangan’ lagipun suasana terkurung di tembok tinggi itu menyebabkan tiada pengaliran udara yang sempurna

Menurut laporan Awani, Benjy berkongsi kisahnya dengan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi ketika membuat lawatan di penjara berkenaan, Isnin lalu.

Lebih sedih Benjy dipercayai mengalami kesukaran bernafas sehingga hampir disahkan mengidap penyakit batuk kering.

Menurut Zed, dalam pertemuan dengan lelaki berusia 39 tahun itu, dia dilihat sayu apabila menerima kunjungan yang juga merupakan lawatan pertama daripada kenalan dari ‘kampung’ sendiri.

Malah, dia juga menyuarakan rasa menyesal dengan apa yang menimpa dirinya.

Benjy sebelum ini didapati bersalah kerana cubaan menyeludup dadah jenis Methamphetamine yang disembunyikan dalam duburnya semasa berada di Sumatera, April 2016.

Sementara itu, dalam lawatan berkenaan, Benjy juga sempat menulis nota di atas kertas putih dan berharap rakyat Malaysia terus mendoakan kesihatan sepanjang berada di tahanan tersebut.

Menyedari ‘keperitan’ yang dialui itu, Seniman mengambil inisiatif melancarkan Tabung Prihatin Seniman dan Seniman Run yang bertujuan mengumpul dana kebajikan yang disalurkan kepada ahli-ahli seniman yang kurang bernasib baik.