Dewan Negara lulus pindaan Auku, Putrajaya tubuh jawatankuasa mansuh akta

Dewan Negara lulus pindaan Auku, Putrajaya tubuh jawatankuasa mansuh akta

Pindaan tersebut memansuhkan peruntukan yang menghalang penuntut universiti terlibat dalam aktiviti parti politik dalam kampus.

Dewan Negara (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 yang bertujuan memansuhkan peruntukan yang menghalang penuntut universiti terlibat dalam aktiviti parti politik dalam kampus.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata kementerian menubuhkan satu jawatankuasa kerja yang berperanan menyediakan input dan draf kandungan baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 dengan satu akta baharu menjelang 2020.

“Jawatankuasa ini juga akan menyelaras laporan berkala dan melakukan pembentangan kepada Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan, Pemansuhan dan Pindaan Auku.

Manakala Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan, Pemansuhan dan Pindaan Auku pula berperanan menyelaras, mengkaji dan menyemak peruntukan berkaitan yang terdapat dalam AUKU secara menyeluruh dan mengemukakan laporan kepada jawatankuasa induk.

“Semua ahli jawatankuasa ini dianggotai oleh ahli akademi, bukan akademi, penasihat undang-undang, wakil pelajar dan wakil persatuan yang merupakan pemegang taruh universiti awam dan swasta,” katanya.

Pada 10 Disember lepas, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila meluluskan dengan sebulat suara pindaan terhadap Auku yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik.

Pindaan itu membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) Auku yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekaligus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada mereka dalam bersuara serta berpolitik.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 17 November dilaporkan mengulangi komitmen kerajaan memansuhkan Auku, sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 PH.

Sementara itu, Dewan Negara turut meluluskan 2 lagi RUU iaitu RUU Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) 2018 dan RUU Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.