JPN digesa jaga keselamatan isteri didera di tribunal perkahwinan

Sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Malaysia.

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu meminda prosedurnya untuk memastikan keselamatan mangsa keganasan rumahtangga yang menuntut cerai di tribunal perkahwinan, kata NGO wanita hari ini.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA), dalam satu kenyataan, hari ini meminta JPN menangani 3 kebimbangan utama.

Ia juga mempersoalkan keperluan Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) di mana pihak dalam kes perceraian perlu menghadiri tribunal perkahwinan di tempat tinggal terakhir mereka, sambil menambah ia akan membahayakan “kesejahteraan mental dan fizikal” mangsa keganasan rumah tangga.

“Mengarahkan mangsa kembali ke kawasan di mana pelaku tinggal boleh menyebabkan ketakutan dan trauma teruk kepada mangsa serta meletakkan keselamatannya dalam risiko,” kata kumpulan itu.

WOA juga berkata apabila kedua-dua pihak hadir di tribunal pada masa yang sama, mangsa akan berdepan gangguan.

“Dari pengalaman WAO, ramai wanita dipanggil untuk hadir pada masa yang sama dengan suami mereka, walaupun dalam situasi keganasan rumah tangga. Ini menyebabkan wanita diganggu dan diancam oleh suami-suami mereka, juga kawan dan keluarganya,” katanya.

WOA berkata JPN mesti mengeluarkan arahan yang jelas bahawa kedua-dua pihak tidak sepatutnya hadir di tribunal pada masa yang sama.

“Pelan keselamatan komprehensif harus termasuk mempunyai kakitangan atau pegawai polis yang bersiap sedia sekiranya mangsa berada dalam risiko ketika menghadiri tribunal perkahwinannya (dalam hal di mana mangsa tidak memohon dan mendapat pengecualian dari tribunal),” katanya.

Antara 2014 hingga 2017, sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Malaysia, dengan lebih 5,700 kes dilaporkan pada 2017 sahaja, menurut WOA.