Kementah nafi 75 belia India diserap sebagai tentera

Liew Chin Tong berkata hasil perjumpaan pihaknya dengan pihak Kementerian Sumber Manusia tidak membawa kepada keputusan seperti dinyatakan pegawai M Kulasegaran.

PETALING JAYA: Liew Chin Tong menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran hari ini bahawa seramai 75 individu komuniti India diserapkan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan menteri pertahanan berkata hasil perjumpaan pihaknya dengan pihak Kementerian Sumber Manusia tidak membawa kepada keputusan seperti dinyatakan pegawai Kulasegaran.

“(Kenyataan itu) Tak semuanya betul.

“Ada perjumpaan dengan pejabat saya tetapi apa yang dilaporkan bukan keputusan yang sedia ada. Itu bukan keputusan. Maksudnya ada kesilapan. Tidak mengapalah, dia dah tarik balik,” katanya kepada FMT merujuk kiriman Facebook Kulasegaran berhubung perkara itu yang sudah dipadamkan.

Terdahulu, pegawai Kulasegaran menyatakan seramai 75 belia India diserap sebagai tentera hasil perbincangan dengan pihak Kementerian Pertahanan. Menurut kiriman itu, 60 daripada mereka tidak mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kiriman itu berkata, Kementerian Pertahanan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) berjanji akan menyerap mereka namun dimungkiri. Menurut pegawai itu, mereka dilatih Askar Wataniah sebelum pilihan raya umum ke-14.

Kiriman itu juga menyebut beberapa NGO India beberapa kali cuba menghubungi tentera bagi menyelesaikan isu tersebut namun tidak dilayan.

Kenyataan pegawai Kulasegaran itu bagaimanapun dipadam selepas 16 jam dipaparkan.

Sementara itu, seorang pegawai menteri sumber manusia mengesahkan perjumpaan itu.

Katanya, kenyataan rasmi berhubung perjumpaan itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Perjumpaan memang ada, sebab itu ada gambar. Tapi saya rasa keputusan akhir tentang perjumpaan itu belum keluar sebab itu belum ada kenyataan rasmi lagi,” katanya.