Kurang guru di Sabah, Sarawak punca guru Semenanjung tak dapat pulang

Sebelum ini, Sarawak menyasarkan 90% guru kelahiran Sarawak untuk berkhidmat di negeri itu menjelang 2018. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengakui masalah kekurangan guru di Sabah dan Sarawak menyebabkan guru yang berasal dari Semenanjung tidak dapat pulang ke tempat asal mereka.

Setiausaha Agung Harry Tan Huat Hock berkata, antara punca masalah itu adalah dasar yang ditetapkan Sarawak yang menyasarkan 90% guru kelahiran di negeri itu, namun disebabkan kekurangan guru Sarawak, maka guru Semenanjung terpaksa memenuhi kuota tersebut.

“Isunya, oleh kerana kekurangan guru di sana dan juga dasar ditetapkan kerajaan Sarawak iaitu 90:10, maka guru-guru ini tidak ada pengganti dan tidak dapat ditukarkan.

“Kami merayu pihak Kementerian Pendidikan dan kerajaan Sarawak untuk mencari jalan menyelesaikan kemelut ini,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebelum ini.

Maszlee mendakwa kekurangan guru agama di Sabah dan Sarawak kritikal.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan guru agama dari Kelantan dan Terengganu tidak pulang ke Semenanjung buat sementara, sebaliknya terus menabur bakti di negeri itu.

Harry memaklumkan, guru yang memohon untuk bertukar dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung rata-ratanya sudah lama berkhidmat, ada di antara mereka berkhidmat melebihi 5 tahun di negeri berkenaan.

Pada 12 Oktober 2016, Datuk Fatimah Abdullah Ting yang ketika itu menjawat tugas sebagai Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Negeri Sarawak memaklumkan sasaran 90% guru kelahiran Sarawak berkhidmat di negeri itu menjelang 2018 dapat dicapai.

Fatimah ketika itu berkata, pada 2016 sebanyak 88.7% atau 37,177 guru di Sarawak ialah penduduk tempatan dan menyifatkan berada di landasan betul untuk mencapai sasaran 90% penduduk tempatan.

Belum puas timba pengalaman

Sementara itu, seorang guru yang mengajar di Selangau dalam daerah Sibu, Sarawak memberitahu FMT bahawa beliau merupakan satu-satunya guru mengajar mata pelajaran agama Islam di sekolahnya.

“Budak sekolah yang beragama Islam di sekolah tempat saya mengajar sikit sahaja, hanya seramai 8 orang. Jadi, memang hanya saya seorang sahaja yang mengajar mata pelajaran agama Islam.

“Di kawasan sini, budak sekolah beragama Islam memang sedikit sahaja, daripada 22 buah sekolah yang ada, hanya ada dalam 120 orang pelajar sahaja.

“Manakala, guru dari Semenanjung pula hanya tinggal 8 orang daripada 16 orang dahulu, kerana rata-ratanya sudah ramai yang balik (pulang ke Semenanjung),” katanya yang mahu dikenali sebagai Ahmad Afdhal.

Jelasnya, tahun ini merupakan tahun ke-5 beliau mengajar di Sarawak, namun sehingga kini perasaan untuk pulang ke Semenanjung masih belum timbul kerana masih mahu menimba pengalaman.

“Borneo memang lain daripada Semenanjung, banyak aspek yang menjadi kelainan. Hasrat hendak balik mengajar di Semenanjung mungkin dalam 5 tahun mendatang.

“Cumanya, perasaan risau kalau jauh daripada keluarga ini paling utama adalah ketika terjadi perkara kecemasan. Sebabnya, penghubung utama adalah laluan udara untuk ke sini,” katanya.