Mahkamah kenakan semula perintah denda RM10 juta terhadap Air Asia, MAS

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengenakan semula denda RM10 juta terhadap Air Asia dan Malaysia Airlines System Berhad (MAS) yang dikenakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana melanggar larangan perkongsian pasaran.

Hakim Datuk Nordin Hassan mengetepikan keputusan Tribual Rayuan Persaingan pada 2016, yang memutuskan kedua-dua syarikat penerbangan itu tidak perlu membayar denda kerana tidak melanggar Akta Persaingan.

“Setelah menimbangkan isu-isu dan hujah-hujah peguam bagi pihak suruhanjaya, AirAsia, MAS dan tribunal, mahkamah dapati ada kesilapan dalam keputusan tribunal.

“Tribunal gagal menimbangkan perjanjian kolaborasi antara kedua syarikat tersebut mempunyai kesan merosakkan persaingan,” katanya.

Kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan juga masing-masing diperintah membayar kos RM10,000.

Bagaimanapun, mahkamah tidak menetapkan tempoh masa melunaskan denda RM10 juta.

Kes MAS dan AirAsia dengan MyCC bermula pada 2014 apabila suruhanjaya dapati kedua-dua syarikat tersebut melanggar larangan perkongsian pasaran bawah Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan, dengan mengadakan perjanjian berkaitan perkongsian pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.

MyCC mempunyai kuasa mengenakan denda ke atas kedua-dua syarikat penerbangan pada kadar 10% daripada pendapatan seluruh dunia mereka kerana melanggar akta itu, tetapi mengenakan denda yang jauh lebih rendah sebab mereka memberi “kerjasama” semasa penyiasatan.

Denda RM10 juta oleh MyCC berdasarkan penerbangan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Sandakan and Kuala Lumpur-Sibu dibuat oleh Air Asia dan MAS dalam 4 bulan, dari 1 Januari hingga 30 April 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu telah menjelaskan keraguan tentang tugas-tugas suruhanjaya.

Peguam Air Asia, Leonard Teoh berkata syarikat penerbangan itu akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi.

“Ia bukan amaun yang kecil,” katanya.