Maria saman polis, kerajaan berhubung penahanan Sosma 2016

Maria saman polis, kerajaan berhubung penahanan Sosma 2016

Maria Chin mendakwa penahanannya selama 10 hari di bawah Sosma dari 18 hingga 28 November 2016 tidak wajar di bawah undang-undang.

Maria Chin ditahan selama 10 hari di bawah Sosma.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menuntut ganti rugi daripada kerajaan dan polis berhubung penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, 2 tahun lepas.

Dalam samannya yang difailkan pada 6 Ogos, bekas pengerusi Bersih 2.0 mendakwa penahanannya selama 10 hari dari 18 hingga 28 November 2016 tidak wajar di bawah undang-undang.

Maria ditahan menjelang perhimpunan Bersih 5.0 tahun itu, yang menuntut kerajaan Barisan Nasional menyiasat Datuk Seri Najib Razak berhubung transaksi sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya.

Semasa ditahan, katanya, pihak polis menyoalnya berhubung kaitan Bersih dengan 1MDB, juga kaitannya dengan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang memberikan butiran mengenai kewangan Bersih.

Beliau berkata polis tidak memberi alasan mengapa dia dituduh melanggar undang-undang keselamatan.

Katanya, dia ditahan dalam kurungan dan dinafikan akses kepada rawatan perubatan.

Sementara itu, dalam kenyataan balas, polis dan kerajaan berkata penahanan Maria berdasarkan laporan polis yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang mengancam keamanan dan kestabilan negara.

Mereka juga berkata pihaknya telah menjelaskan kepada Maria sebab penahanannya.

“Penahanan itu tidak berniat jahat dan bukan disebabkan alasan politik,” kata mereka.

Mahkamah Tinggi menetapkan 16 Jan 2019 untuk sebutan semula kes dan untuk kerajaan memfailkan dokumen perbicaraan.

Maria memfailkan permohonan habeas corpus untuk mendapatkan pembebasannya daripada Sosma.

Beliau dibebaskan sebelum pendengaran habeas corpus.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi 2016 untuk menolak habeas corpusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.