Pelajar tunggu keputusan SPM didakwa rogol gadis bawah umur

Remaja terbabit mengaku tidak bersalah merogol gadis bawah umur.

KAMPAR: Seorang remaja lelaki yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur, tahun lepas.

Remaja berumur 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Remaja itu didakwa merogol mangsa berusia 16 tahun semasa kejadian pada 20 Ogos 2017 di kawasan air terjun Batu Bersungkai.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Peguam bela tertuduh, Sukhdave Singh ketika ditemui media memaklumkan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jan depan sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Norashikin Hassan meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 yang kemudian dirayu oleh ibu bapa tertuduh atas alasan tidak berkemampuan.