Pihak bertanggungjawab digesa baiki keretakan jejantas depan hospital Ipoh

Berlaku keretakan di jejantas berkenaan selepas lori kontraktor melanggarnya 2 minggu lepas. (Gambar Facebook)

IPOH: Kerajaan negeri menggesa pihak yang bertanggungjawab segera membaiki semula keretakan struktur jejantas berhadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Jalan Raja Ashman Shah.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata setakat ini, penghadang dipasang di kawasan tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku demi keselamatan orang awam.

“Jalan berkenaan adalah di bawah seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan telah diambil maklum pihak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata keretakan itu berlaku pada 2 minggu lepas selepas lori pihak kontraktor iaitu Syarikat Mangkubumi Sdn Bhd yang sedang membawa jentera terlanggar jejantas berkenaan dan menyebabkan ia teranjak sedikit ke hadapan.

“Ia mengakibatkan keretakan di struktur ‘pier’ dan ‘support’. Bagaimanapun keadaan struktur jejantas masih stabil dan keretakan hanyalah disebabkan impak secara literal daripada pelanggaran tersebut,” katanya.

Abdul Yunus berkata pihak kontraktor berkenaan sedang melaksanakan kajian lanjut berkaitan struktur jejantas dan akan mengemukakan laporan lengkap kaedah pembaikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 2 minggu.

“Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh pihak Mangkubumi selepas mengemukakan laporan tersebut kepada pihak MBI,” katanya.