Saman RM5 juta Yeo terhadap Jamal belum selesai

KUALA LUMPUR: Kes ketua Baju Merah Datuk Seri Jamal Yunos yang disaman RM5 juta oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, belum selesai.

Yeo menyaman Jamal tahun lepas kerana menuduh beliau menyalahgunakan wang daripada Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) ketika menjadi Adun Damansara Utama.

Peguam Yeo, SN Nair berkata, mereka perlu kembali ke pusat mediasi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Januari depan untuk tentukan sama ada kes boleh diselesaikan di luar mahkamah.

“Sesi pengantaraan hari ini tiada kata putus,” katanya kepada pemberita selepas sesi 2 jam hari ini.

Nair berkata ia hanyalah adil sekiranya penyelesaian itu berpatutan untuk Yeo.

Jamal pula memberitahu, dia berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kes tersebut.

Perbicaraan dijadualkan dari 15 ke 17 April, 2019 di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad sekiranya Jamal dan Yeo tidak dapat selesaikan kes itu secara baik.

Dalam tuntutannya, Yeo berkata tuduhan Jamal, yang dilaporkan secara meluas oleh media, memberi gambaran beliau seorang yang menyalahgunakan kuasa dan bertindak secara tidak adil.

Juga, beliau menyalahguna wang kerajaan untuk diri sendiri, dan ahli politik yang tidak layak memegang jawatan parti, seorang pembohong dan seorang yang tidak boleh dipercayai dan tiada beretika.

Yeo mendakwa laporan tersebut merosakkan kedudukannya sebagi seorang ahli politik di mata parti, ahli parti dan pengundi di kawasannya.

Menurut Yeo, tuduhan Jamal juga mengakibatkan kerosakan teruk pada karekter, kredit dan reputasi beliau di dalam dan luar negara yang tidak dapat diperbaiki lagi.

Ia juga, katanya, melibatkan beliau dalam skandal umum, menyebabkan beliau dibenci dan dihina di mata masyarakat.

Beliau menuntut RM5 juta juga atas kerosakan am, di samping pampasan kerosakan teruk dan contoh.

Yeo juga bertindak untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang Jamal daripada mengulangi tuduhannya.

Pada tahun lepas, Jamal mendakwa ahli-ahli politik dari Kuala Lumpur dan Selangor mengambil wang untuk kebajikan dan dari Yawas yang sepatutnya diagihkan kepada mereka yang layak.

Jamal juga menuduh Yeo mengambil wang kebajikan walaupun tiada yang meninggal dunia.

Beliau mendakwa mempunyai maklumat daripada mereka yang tidak mendapat bantuan itu.

Yeo menafikan tuduhan-tuduhan itu dan menunjukkan dokumen mengenai bayaran berkaitan Skim Mesra Usia Emas bawah Yawas.