DAP akan keluar PH jika objektif Malaysia Baru dipinggirkan, kata Kit Siang

Lim Kit Siang berkata, pemimpin DAP tidak akan sesekali menjadi dayus seperti pemimpin MCA.

PETALING JAYA: Pemimpin DAP, sama ada yang berada dalam kerajaan atau di luarnya akan meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika objektif Malaysia Baru dipinggirkan, kata penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata, pemimpin DAP berada dalam kerajaan kerana mereka boleh memainkan peranan penting dalam membina sebuah Malaysia Baru dan “menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah demokrasi palsu, sebuah “kakistokrasi”, sebuah negara gagal dan sebuah “kleptokrasi dunia”.

Lim memberi respons kepada catatan Facebook oleh Tan Sri Clement Hii – bekas wartawan dan kini ahli perniagaan – bahawa rakyat mungkin melihat DAP sebagai sebuah MCA baru jika ia tidak terus memperjuangkan agenda pembaharuannya setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Dalam satu kenyataan Lim berkata, “pemimpin DAP tidak akan sesekali menjadi dayus seperti pemimpin MCA.”

Beliau seterusnya mengemukakan perbezaan antara DAP dan MCA dan kenapa ia tidak akan menjadi “MCA 2”.

Pertama, kata beliau, MCA hanya mewakili orang Cina dan memperjuangkan hak komuniti itu, sementara DAP mewakili semua kaum.

“DAP adalah parti berbilang kaum yang memperjuangkan kesejahteran serta kebajikan semua kaum yang ada di Malaysia, bukan mono-etnik seperti MCA.

“DAP mahu pemimpin dan anggotanya menyertai politik untuk berkhidmat kepada negara, bukannya untuk diri sendiri, sama ada kerana kekayaan, pangkat atau kedudukan.

“Politik pelbagai kaum DAP adalah satu-satunya jalan bagi membina Malaysia yang bersatu dan maju kerana penerusan politik mono-etnik tidak akan berjaya menyatukan Malaysia yang majmuk,” kata Lim.