Kit Siang fitnah saya, kata Hanif Omar dalam tuntutan balas kes penahanan ISA 1969

Bekas ketua polis negara, Hanif Omar menuntut ganti rugi tidak ditetapkan daripada Lim kerana hilang reputasi dan injunksi bagi menghalangnya terus membuat kenyataan di media sosial dan kenyataan akhbar.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua polis negara, Tun Mohammed Hanif Omar mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memfitnah beliau dengan berkata bekas ketua polis itu merekayasa “cerita karut” berhubung penahanan Lim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Hanif berkata, kenyataan Lim itu dibuat selepas satu laporan akhbar memetik Hanif sebagai berkata bahawa beliau menahan Lim pada Mei 1969 kerana pemimpin DAP itu cuba “membahagikan Malaysia menurut garis kaum”.

Lim sebelum ini memfailkan saman terhadap Hanif susulan kenyataan itu.

Dalam tuntutan balas yang difailkan semalam, Hanif mendakwa Lim menaikkan satu tweet dan selepas itu mengeluarkan kenyataan akhbar mendakwa beliau merupakan seseorang yang “mereka-reka cerita” dan seorang tua serta tidak berguna.

Dalam tuntutan balasnya, Hanif menuntut ganti rugi yang tidak ditetapkan daripada Lim kerana hilang reputasi serta injunksi menghalang Lim daripada menerbitkan kenyataan “fitnah” lain dalam media sosial dan kenyataan akhbar.

“Kenyataan tweet beliau pada 7 Sept bertujuan memalukan saya dan cuba mengumpan komen negatif daripada pengguna Twitter lain terhadap saya,” kata Hanif.

Pada Okt lepas, Lim memfailkan saman fitnah terhadap Hanif berhubung kenyataan beliau yang mendakwa Lim “mahu membahagikan Malaysia menurut garis kaum”, dengan pantai Barat diperuntukkan kepada orang Cina, dan orang Melayu di pantai Timur.

Lim mendakwa, kata-kata tersebut yang diucapkan dalam satu konvensyen di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam pada 6 Sept, merosakkan reputasinya sebagai seorang Ahli Parlimen.

Bagaimanapun dalam kenyataan membela dirinya, Hanif mendakwa, kenyataan beliau berkenaan penahanan Lim disalah lapor oleh media.

“Media gagal melaporkan kenyataan saya dengan tepat sehingga menyebabkan maksud asalnya terseleweng,” kata beliau.

Hanif berkata, penahahan Lim pada 1969 adalah wajar kerana unit risikan polis menunjukkan beliau terlibat dalam aktiviti yang “boleh mengancam keselamatan persekutuan (Malaysia)”.

“Penahanan Lim tidak dibuat semata-mata berdasarkan dakwaan “mahu membahagikan semenanjung”. Terdapat dakwaan lain terhadap DAP sebagai parti politik radikal dalam mengawal kepimpinan negara.

“Saya menjalankan tugas sebagai pegawai penguatkuasa bagi memelihara kepentingan negara. Tidak ada apa-apa tujuan peribadi terhadap Lim,” kata beliau.

Hanif menambah, saman Lim merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian kerana Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu memfailkannya 47 tahun selepas beliau ditahan di bawah ISA.

“Fakta kes boleh diuji oleh mahkamah pada masa itu, bukannya sekarang. Saya tidak memiliki dokumen berkaitan berhubung penahanan ISA tersebut,” katanya, dengan menambah bahawa saman Lim menyalahgunakan proses mahkamah.