Lebih 100 berkumpul gesa Waytha letak jawatan, tuntut keadilan Adib

Lebih 100 berkumpul gesa Waytha letak jawatan, tuntut keadilan Adib

Kumpulan itu juga menggesa polis menahan semua individu yang terlibat dalam rusuhan kuil Sri Mariamman dengan segera.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang Sophian Mohd Zain (baju coklat) bersama Pengerusi kumpulan Raudhah Azmi Jaafar (baju biru) semasa menunjuk perasaan di depan Masjid Jamek Hashim Yahaya.
GEORGE TOWN:
Sekumpulan kira-kira 100 penunjuk perasaan berkumpul di luar masjid di sini, hari ini menggesa peletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berhubung komennya mengenai rusuhan kuil di Seafield.

Kumpulan yang berkumpul di luar Masjid Jamek Hashim Yahaya di Jalan Perak selepas solat Jumaat itu juga menuntut keadilan atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Laungan “hancur Waytha”, “hancur kuffar” dan “takbir” kedengaran diselang-seli penghinaan kepada sami kuil Sri Maha Mariamman yang sebelum ini mendakwa Adib dilanggar jentera bomba.

Yang lain pula menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap pihak polis yang tidak bertindak terhadap individu yang memulakan serangan kebencian ke atas Adib.

Selepas 15 minit bercakap dan meneriak, kumpulan itu kemudian berarak ke balai bomba yang terletak 100 m dari lokasi kejadian dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada salah seorang anggota yang bertugas.

Mereka kemudiannya membaca Al-Fatihah untuk arwah Adib dan menyatakan solidariti mereka kepada bomba.

Sophian Mohd Zain, salah seorang 4 aktivis yang bercakap semasa bantahan itu, berkata mereka yang memukul Adib tidak menghormati anggota beruniform yang melindungi negara daripada bencana.

“Mereka memukul Adib seperti binatang, seperti serigala hurung kambing. Mereka tidak ada perasaan kemanusiaan apabila Adib dalam keadaan beruniform.

“Mereka ada 2 juta saja dalam negara, kita bangsa Melayu Islam 20 juta dalam negara, bayangkan mereka ada 20 juta dalam negara kita, apa akan jadi?” katanya.

Sophian juga menyelar Exco Selangor V Ganabatirau kerana menuduh kumpulan yang menyerang kuil Sri Maha Mariamman adalah “kumpulan Muslim” dan menyeru peletakan jawatannya.

Seorang lagi aktivis, Azmi Jaafar, berkata ramai yang kecewa dengan kegagalan polis bertindak menahan penunjuk perasaan. Beliau berkata dalam tunjuk perasaan sebelum ini yang bertukar menjadi ganas, penangkapan adalah pantas, tetapi dalam kes kuil Sri Maha Mariamman, ia berlaku sebaliknya.

“Polis bertanggungjawab sepenuhnya untuk ini. Saya harap keluarga Adib akan menyaman polis dan kerajaan.

“Polis mesti buat kerja balik ke trek, ikut akta polis, bukan terima arahan dari pemimpin DAP.

“Cuba bayangkan yang mati puak-puak sana, tengok berapa ribu datang lingkung balai polis.

“Yang ini kes ahli bomba mati, semua sejuk. Mana maruah kamu?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.