
Merangkumi 3 perkara asas, Mohamad mengumumkan penyusunan semula dan penstrukturan operasi Umno, penyusunan dan pengaturan strategi Umno menghadapi pilihan raya umum ke-15, dan pemerkasaan parti menjadi pembangkang yang berkesan.
“Ini yang kita akan buat untuk hentikan ‘pendarahan’, tekanan dan kononnya ada ura-ura pemimpin yang akan keluar dari Umno lagi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti selepas mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi Umno hari ini.
“Saya akan berjumpa sendiri dengan semua Ahli Parlimen Ummo. Ada segelintirnya berdasarkan percakapan mereka, mereka berpuas hati,” tambahnya
Langkah ini menyaksikan Umno nasional memberikan autonomi kepada Umno negeri, terutama Sabah, untuk membuat keputusan dan merangka strategi masing-masing.
“Ketika ini tidak ada “sense of belonging and ownership” kerana setiap keputusan sebelum ini datangnya dari Umno pusat,” kata Mohamad, membayangkan parti yang lebih responsif.
“Ia akan diubah supaya ketua Umno negeri dapat mengatur strategi masing-masing. Umno di Kelantan mungkin berbeza dengan strategi Umno di negeri lain,” katanya.
PRK Cameron Highlands
Ditanya pemberita mengenai pilihan raya kecil Cameron Highlands, Mohamad mengumumkan Umno melantik Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai pengarah pilihan raya.
Beliau berkata Umno memberi kepercayaan kepada Wan Rosdy selaku ketua Umno kawasan.
“Biasanya pengarah PRK diserahkan kepada timbalan presiden tetapi memandangkan tempat berkenaan merupakan kerusi disandang salah satu parti dalam Barisan Nasional (BN),” katanya.
Tugas-tugas timbalan presiden Umno ketika ini dipangku Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.
Mohamad berkata Barisan Nasional belum menentukan calon yang akan bertanding di Cameron Highlands.
“Kita menghormati parti komponen kita,” katanya.