Pentadbir sah kuil Seafield sedia bekerjasama dengan peguam negara

PETALING JAYA: Pentadbir sah Kuil Sri Maha Mariamman berkata dia sedia bekerjasama dengan Peguam Negara Tommy Thomas mencari penyelesaian kepada isu penempatan semula kuil itu.

K Chelappa juga menepis dakwaan mengatakan dia melarikan pampasan RM1.5 juta yang diberi pemaju, One City Development Sdn Bhd.

“Peguam persatuan menyertai mesyuarat bersama peguam kumpulan yang mendakwa diri mereka penganut yang membantah penempatan semula, bersama peguam One City dan pejabat peguam negara.

“Saya mahu tegaskan kami tidak terlibat dalam tunjuk perasaan pada 26 dan 27 November, dan kami sama sekali tiada kaitan dengan mereka yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu.”

Chellappa mahu menjelaskan tanggapan salah dan dakwaan sekitar isu itu termasuk dakwaan dia melarikan RM1.5 itu.

Beliau berkata wang itu sentiasa tersimpan di pihak peguam One City dan sehingga hari ini hanya RM525,618 dikeluarkan kepada persatuan kuil untuk membina dan menyenggara struktur sementara kuil itu, upacara pembinaan kuil sementara dan fi guaman semasa mempertahankan persatuan.

“Pihak persatuan sedia menunjukkan perbelanjaan setakt ini jika diperlukan pihak berkuasa.”

Chellappa berkata ramai salah faham apabila menyangka dia bersama mereka yang mahu mengekalkan kuil itu.

Oleh sebab itu dia sekali lagi perlu mengulangi fakta kes dalam penghakiman persetujuan 2014 di Mahkamah Tinggi.

Menurut persetujuan itu, semua pihak terlibat termasuk kerajaan Selangor, One City, Chellappa dan seorang individu yang menuntut jawatan pengurus kuil, M Nagaraju, bersetuju untuk memindahkan kuil itu dan menyerahkan tanah yang diduduki kepada pemaju.

Sebagai ganti, One City akan menyerahkan sebidang tanah untuk kuil baru (Tanah A) kepada pengurus kuil yang sah, sebidang tanah untuk kuil (Tanah B), dan sumbangan RM1.5 juta.

Dalam masa yang sama, Chelappa dan Nagaraju terlibat dalam satu saman bersaingan bagi menentukan siapa pengurus kuil yang sah.

Mahkamah Tinggi memihak kepada Chellappa, menjadikan beliau orang yang diiiktiraf di sisi undang-undang untuk melaksanakan penghakiman persetujuan itu dan membuat keputusan masa depan tentang kuil itu.

“Tiada rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pengurusan kuil.

“Namun begitu, terdapat beberapa litigasi berlarutan yang gagal daripada pihak Nagaraju dan pihak lain yang mahu mengetepikan penghakiman persetujuan itu atau mencabar keputusan tentang pengurusan kuil itu.”

Chellappa berkata Nagaraju kemudian diisytiharkan seorang litigan yang menyakitkan hati dalam perkara berkaitan kuil itu.

“Litigasi berlarutan itu menyebabkan persatuan tidak dapat mengambil alih kuil itu.”

Chellappa berkata dalam masa yang sama, persatuan dinasihatkan bahawa Tanah A tidak sesuai untuk pembinaan kuil kerana ia terletak atas tanah untuk pembinaan lebuhraya.

Jadi, kuil melepaskan hak ke atas Tanah A kepada One City, yang membayarnya tambahan sebanyak RM1 juta, dan membuat keputusan untuk memindahkan kuil ke Tanah B.

Chellappa berharap tiada lagi salah faham selepas penerangan ini.

“Sementara itu, kami tidak akan keluarkan sebarang kenyataan media kerana peguam negara sedang mengkaji perkara ini.”