Perbicaraan kes tanah wakaf RM300 juta diteruskan

GEORGE TOWN: Mahkamah Rayuan hari ini memerintah mahkamah rendah meneruskan kes melibatkan 2 plot tanah wakaf di Air Itam bernilai RM300 juta dimohon untuk dikembalikan kepada pemiliknya.

Panel 3 hakim dipengerusikan oleh Hakim Syariah Mukhyuddin Ibrahim memutuskan kes tersebut mesti dimulakan secepat mungkin di Mahkamah Tinggi Syariah.

Katanya, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa penuh menentukan yang mana tanah wakaf dan yang mana tanah keluarga, bukan Jawatankuasa Fatwa Negeri. Beliau tetapkan 9 Jan depan untuk perbicaraan.

Mahkamah Rayuan memutuskan demikian berikutan permohonan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) mahu membatalkan kes dibawa oleh 3 cucu seorang hartawan hartanah, Shaik Eusoff Shaik Latiff.

Ketiga-tiga cucunya itu memohon mahkamah mengisytiharkan tanah itu sebagai tanah mereka.

Kes berkenaan melibatkan 15 ekar tanah ditinggalkan Shaik Eusoff dalam wasiat bertarikh 30 Dis 1892. Dalam wasiatnya, 2 plot tanah di Air Itam itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa Islam sebagai tanah wakaf bagi tempoh 21 tahun selepas kematian beliau.

Menurut wasiat itu, selepas 21 tahun tanah tersebut perlu dikembalikan kepada estet keluarga.

Cucu-cucu Shaik Eusoff memohon tanah berkenaan dikembalikan kepada mereka, memandangkan tempoh 21 tahun itu sudah lama tamat.

Mereka adalah Syed Idross Syed Hassan Al Mashoor, Sheik Mohd Jelani Sheik Emam, dan Abdul Shukor PA Mohd Sultan. Mereka telah minta MAINPP mengembalikan tanah tersebut tetapi gagal.

Pihak plaintif diwakili Akberdin Abdul Kader, Rafie Shafie, Yuslinov Ahmed, Reza Rafie dan Hafizullah Abdullah.

MAINPP diwakili peguam Zainul Rijal bersama Najib Rohim and Anuar Ahmad.

Shaik Eusoff, seorang Jawi Peranakan, yang mempunyai asal usul dari Gujarat, India, adalah seorang hartawan yang memiliki tanah yang luas di George Town pada awal kurun ke-19.

Keturunan beliau juga terkenal kerana membawa sejenis teater yang popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang, yang dipanggil boria.