Persembahan sarkas kembali lagi, kali ini dari Moscow

Persembahan sarkas kembali lagi, kali ini dari Moscow

Sokongan pihak berkuasa tempatan serta penerbit antarabangsa, Malaysia boleh bersaing dengan negara jiran seperti Singapura untuk menganjurkan persembahan bertaraf antarabangsa.

Mungkin ramai rakyat Malaysia yang suka menonton sarkas biasa mendengar nama Royal London Circus, kumpulan sarkas tempatan yang popular pada tahun 90an.

Kini, kira-kira 20 tahun kemudian, peminat sarkas di negara ini berpeluang menyaksikan persembahan sarkas yang hebat oleh sebuah kumpulan terkemuka dari Moscow. Kumpulan ini berada di Malaysia selama 8 bulan untuk membuat pelbagai bentuk persembahan termasuk adegan akrobatik yang hebat tetapi tanpa aksi sebarang haiwan.

Kedatangan Moscow Circus Tour of Malaysia 2018/19 adalah inisiatif Kenneth Lee yang mempunyai hubungan persahabatan dengan Victor Pilipovic, ejen artistik sarkas dari Rusia. Untuk makluman, ayah Lee ialah mendiang Paul Lee, pengarah sarkas antarabangsa Malaysia yang pertama dan beliau juga pencipta Royal London Circus.

Penerbit Moscow Circus Tour of Malaysia adalah Yahna SG dan Datuk Seri G Radakrishnan.

Kumpulan sarkas ini terdiri daripada 40 orang artis dari 2 syarikat sarkas terkemuka Moscow iaitu Bolshoi dan Nikulin.

“Bukan mudah untuk membawa kumpulan sarkas yang terkemuka ini untuk sama-sama membuat persembahan dan kami gembira dapat melakukannya, “ Pilipovich memberitahu Bernama di sini, baru-baru ini.

Pilipovich, yang juga seorang penjugel yang terkenal berkata pihaknya mengambil masa 9 bulan untuk membuat persiapan membawa kumpulan sarkas itu ke Malaysia di bawah naungan Moscow Circus.

Sementara itu, Lee berkata dengan sokongan pihak berkuasa tempatan serta penerbit antarabangsa, Malaysia boleh bersaing dengan negara jiran seperti Singapura untuk menganjurkan persembahan bertaraf antarabangsa.

Gambar Instagram

Dibuai kenangan silam

Bernama baru-baru ini berkesempatan berbual dengan beberapa orang penonton yang hadir pada sesi pranonton Moscow Circus yang diadakan di Puteri Harbour, Iskandar Puteri.

Bagi mereka, peluang menyaksikan pranonton itu mengingatkan mereka kepada kenangan silam.

Mohd Norelliyas Che Tahrim, 34, seorang eksekutif berkata pada mulanya beliau menyangka pertunjukan sarkas itu akan melibatkan persembahan haiwan.

“Semasa saya kanak-kanak, saya ada menyaksikan beberapa persembahan sarkas dan yang paling saya suka ialah aksi haiwan. Meskipun Moscow Circus tidak melibatkan persembahan haiwan, ia masih hebat, “ katanya.

Tambah beliau, persembahan Skopov Troupe yang memaparkan beberapa adegan akrobatik yang mendebarkan turut menambat hatinya.

Seorang lagi penonton, Izzayati Husna Ahmad, 29, yang bekerja sebagai eksekutif menyifatkan peluang menyaksikan persembahan Moscow Circus tidak akan dapat dilupakan.

“Semasa kecil saya tak pernah berkesempatan menonton sarkas jadi saya tak boleh komen bila tiada persembahan haiwan.

“Bagaimanapun, saya sokong tindakan mereka tidak menggunakan haiwan kerana bagi saya tidak ada yang menyeronokkan mendera binatang liar, “ kata Izzayati, yang teruja dengan persembahan Moskalov Duo.

Gambar Instagram

Artis yang berbakat

Persembahan sarkas itu yang berlangsung selama 2 jam memaparkan antaranya aksi pejalan kaki di atas wayar tinggi, artis trapeze dan akrobat ‘Russian Swing’.

Turut membuat persembahan ialah penjugel terkenal Semen Krachinov serta pasangan suami-isteri yang membuat aksi ilusi iaitu Mykhaylo dan Lyana Moskalov dari Ukraine yang menggelarkan diri mereka sebagai Moskalov Duo.

Dengan inspirasi lakonan aktor Jim Carey dalam filemnya ‘The Mask’, Mykhaylo sering mengenakan pakaian sut berwarna kuning terang ketika membuat persembahan dengan isterinya, Lyana yang turut memaparkan aksi hebat iaitu boleh menukar pakaiannya di atas pentas dalam masa beberapa saat sahaja.

“Saya seronok melihat wajah penonton ketika mereka menyaksikan persembahan-persembahan kami, “ Mykhaylo memberitahu Bernama sambil menambah, “biasanya wanita akan mengambil masa kira-kira sejam untuk bersiap. Tengoklah gelagat penonton terutamanya wanita apabila Lyana boleh menukar pakaiannya dengan begitu pantas sekali.”

Gambar Instagram

Kumpulan Moscow Circus dijadualkan membuat persembahan di Puteri Harbour sehingga 1 Jan, 2019. Lapan aksi dipersembahkan setiap malam sepanjang persembahan 2 jam itu.

Harga tiket adalah dari RM50 hingga RM250. Untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh layari www.themoscowcircus.com.my.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.