Bekas pemimpin Umno, Upko berhasrat sertai STAR, kata Jeffrey Kitingan

Jeffrey Kitingan enggan mendedahkan nama pemimpin itu sehingga mereka benar-benar memuktamadkan keputusan menyertai STAR. (Gambar Bernama)

PENAMPANG: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini mendedahkan beberapa bekas pemimpin politik di Sabah menyuarakan hasrat menyertai parti pimpinannya.

Katanya, ia termasuk beberapa bekas pemimpin Umno dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), dengan ada di antara mereka sudah menghantar borang keahlian menyertai STAR.

Bagaimanapun, Jeffrey buat masa ini tidak mahu mendedahkan pemimpin itu sehingga mereka benar-benar memuktamadkan keputusan menyertai STAR.

“Memang ada yang telah menghantar borang keahlian, tetapi yang lain belum memutuskan (untuk menyertai STAR),” katanya selepas pelancaran Galeri Unduk Ngadau hari ini.

Galeri itu dirasmikan Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun.

Jeffrey yang juga Adun Tambunan turut menyokong keputusan PPBM tidak melebarkan sayapnya ke Sabah.