Hentikan perbalahan terbuka, Anwar beritahu pemimpin PH

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) menghentikan perbalahan terbuka.

“Dalam suasana sedia ada, memahami keadaan kos sara hidup yang terus membelenggu rakyat, saya menggesa agar semua pemimpin PH memberikan tumpuan khusus ke arah menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keselesaan rakyat.

“Pemimpin-pemimpin perlu meredakan suasana dan mengelak daripada kenyataan-kenyataan negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, muafakat PH perlu diperkukuh melalui saluran parti kerana rakyat sentiasa memerhatikan gabungan parti pemerintah itu.

“Kita punyai ruang dan peluang yang sedikit sahaja untuk membuktikan PH benar-benar mampu mengubah nasib rakyat dan negara.”

Baru-baru ini, beberapa pemimpin PH dilihat mengkritik satu sama lain, susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim daripada kecederaan dalam rusuhan di depan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Beberapa pihak menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan susulan kenyataannya mengenai rusuhan di depan kuil itu yang terbabit dalam pertikaian penempatan semula dengan pemaju memiliki tanah rumah ibadat di USJ 25 itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, beliau sedia dikenakan tindakan, jika gesaannya supaya Waytha meletak jawatan dianggap salah.

Ketua Pemuda PPBM berkata, beliau tidak menyertai politik untuk menjadi pak turut atau mendiamkan diri berhubung isu dibangkitkan rakyat.

Susulan itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy mengkritik Syed Saddiq dengan berkata, tindakannya bersama Pemuda PPBM menggesa Waytha meletak jawatan menghina kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menentukan barisan Kabinetnya.

Perdana menteri berkata, terpulang kepadanya untuk mengekal atau memecat Waytha.