Kit Siang gesa menteri, pemimpin PH henti serang satu sama lain

Kit Siang gesa menteri, pemimpin PH henti serang satu sama lain

Penasihat DAP itu berkata, serangan sesama sendiri dalam kalangan pemimpin PH hanya memberi persepsi negatif dan kesan buruk kepada gabungan itu.

Lim Kit Siang meminta pemimpin PH menerima SOP untuk menyuarakan kritikan atau serangan ke atas pemimpin lain.
PETALING JAYA:
Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberi amaran kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya menghentikan serangan ke atas menteri tanpa berbincang dan mendapat kebenaran parti terlebih dahulu.

“Saya bersetuju sepenuhnya dengan Ketua Biro dan Strategi Dasar PPBM, Datuk Rais Hussin yang memberi amaran terhadap serangan antara ahli politik PH kerana ia boleh menyebabkan persepsi negatif dan kesan buruk kepada PH.

“Tiada sesiapa mahu sekatan ke atas kebebasan bersuara yang sentiasa menjadi satu daripada prasyarat asas kami untuk Malaysia menjadi sebuah masyarakat demokratik.

“Ia juga penting untuk memastikan perpaduan dan tujuan munasabah PH tidak terjejas atau dimusnahkan kenyataan tanpa kawal itu.”

Lim menyeru pemimpin PH berhenti menyerang satu sama lain dan menerima prosedur operasi standard (SOP) untuk menyuarakan kritikan atau serangan ke atas pemimpin lain.

“Jika SOP itu tidak berfungsi dengan baik, Majlis Presiden PH perlu campur tangan untuk melaksanakan mekanisme lebih memuaskan hati untuk pemimpin PH menyuarakan kebimbangan dan rasa tidak puas hati mereka, sama ada berhubung kenyataan atau prestasi pemimpin, supaya objektif PH membina Malaysia Baru tidak terjejas dalam apa jua cara.”

Baru-baru ini, beberapa pemimpin PH dilihat mengkritik satu sama lain. Ini lebih ketara selepas pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat kecederaan dalam rusuhan di depan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Kuil itu terbabit dalam pertikaian penempatan semula dengan pemaju yang memiliki tanah rumah ibadat di USJ 25.

Beberapa pihak menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan susulan kenyataannya mengenai rusuhan di depan kuil itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mengkritik tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta Waytha meletak jawatan, tidak mencerminkan perpaduan dalam kerajaan.

“Jika hendak tegur Waytha, teguran itu perlu datang daripada perdana menteri, bukannya rakan menteri lain.

“Tambahan, tindakan menteri memarahi satu sama lain tidak menyebabkan rakyat yakin terhadap kerajaan,” kata pemimpin DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan menteri menggesa menteri lain meletak jawatan bertentangan konvensyen tanggungjawab Kabinet secara kolektif dalam sistem berparlimen.

Katanya, anggota Kabinet perlu menyokong semua keputusan kerajaan secara terbuka, walaupun mereka secara peribadi tidak bersetuju dengannya.

Beliau berkata, tindakan menyalahkan Waytha atas isu Kuil Sri Maha Mariamman semata-mata sehingga mendesaknya meletak jawatan sama seperti menuntut Syed Saddiq meletak jawatan atas kekalahan Malaysia kepada Vietnam dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki baru-baru ini.

Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda PPBM dilaporkan berkata, beliau sedia berdepan sebarang tindakan jika gesaannya supaya Waytha meletak jawatan dianggap salah.

Syed Saddiq berkata, beliau tidak menyertai politik untuk menjadi pak turut atau mendiamkan diri terhadap suara rakyat.

Ia disusuli kritikan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy ke atas Syed Saddiq yang berkata, tindakannya bersama Pemuda PPBM menggesa Waytha meletak jawatan menghina kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menentukan barisan Kabinetnya.

Perdana menteri berkata, terpulang kepadanya untuk mengekal atau memecat Waytha.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.