Kurang bekalan ubat serlah pembaharuan belum berlaku, kata badan pemikir

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye memberitahu Dewan Negara bahawa bekalan ubat di hospital kerajaan kadang-kadang terganggu dan berpunca daripada masalah dalam sistem e-perolehan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir menyuarakan kebimbangan berhubung kekurangan bekalan ubat-ubatan di hospital kerajaan di seluruh negara susulan pendedahan di Dewan Negara bahawa Kemnterian Kesihatan berhadapan masalah dalam memastikan bekalannya mencukupi.

Ia merupakan pendedahan yang “mencemaskan”, kata Azrul Mohd Khalib, ketua pegawai eksekutif Pusat Galen mengenai Dasar Kesihatan dan Sosial.

Bagaimanapun katanya, masalah sama berlaku hampir setiap tahun dan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye di Dewan Negara awal minggu ini menunjukkan “pembaharuan dalam proses perolehan ubat-ubatan” belum berlaku.

Lee memberitahu senat bahawa bekalan ubat-ubaan di hospital kerajaan kadang-kadang terganggu dan keadaan itu berpunca daripada masalah dalam sistem e-perolehan.

Azrul berkata, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefli Ahmad dalam kenyataan rasmi awalnya berjanji untuk mengkaji semula keseluruhan proses perolehan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan kerajaan.

“Beliau memaklumkan komitmennya bagi memastikan penjimatan kos, peningkatan kecekapan dan ketelusan lebih baik,” kata Azrul, sekali gus berharap kementerian akan memperbanyakkan “penyelesaian mesra pesakit”.

“Kekurangan terbaru memperlihatkan kepentingan wujudnya penilaian pihak ketiga ke atas amalan sedia ada. Kami ulangi cadangan supaya ditubuhkan badan ombudsman ke atas perolehan kesihatan.”

Beliau berkata, badan ombudsman hendaklah diberi kuasa untuk menilai amalan serta perkhidmatan perolehan dan membuat cadangan pembaikan supaya peruntukan berjumlah berbilion ringgit yang dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan menepati keperluan.

“Demi kepentingan ribuan pesakit yang bergantung pada kesediaan tepat waktu ubat-ubatan mereka, terutama golongan B40 dan orang tua, keadaan sekarang perlu berubah,” katanya.

B40 merujuk kepada golongan yang berpendapatan kurang RM40,000 setahun.

Bulan Lepas, Dzulkefly berkata, kerajaan kini berada di peringkat awal dalam penyediaan satu cadangan mengenai pelaksanaan mekanisme bagi mengawal harga ubat-ubatan menerusi undang-undang sedia ada. Undang-undang itu termasuklah Akta Kawalan Harga dan Akta Anti-Pencatutan.

Dulkefly berkata, langkah menetapkan harga siling runcit akan secara “tidak langsung” menyeragamkan harga ubat-ubatan dan menjamin orang ramai memperolehnya pada harga berpatutn.