Bagi setiap individu yang aktif menggunakan dapur, mereka tahu betapa susahnya untuk pastikan ruang tersebut kekal bersih, kemas dan paling penting, tidak membazir bahan makanan yang dibeli dan disimpan.

Jadi, kalau anda dapat peroleh tip atau petua untuk memudahkan kerja di dapur di samping menjadikan dapur lebih efisien, anda pasti akan ambil dan cuba amalkan, betul?

Ada 8 petua dan tip dapur yang mungkin dapat membantu anda di sini. Walaupun tidak pasti jika ia betul-betul berkesan, namun tidak salah mencubanya kan? Mana tahu, nasib anda baik dan petua ini berhasil.

Tip 1 – Cili kering dalam beras

Ramai mungkin fikir beras lebih baik disimpan dalam bekas plastik. Alasan untuk berbuat begitu memang praktikal. Bekas plastik lebih cantik, lebih kemas dan lebih menjimatkan ruang. Mudah untuk ubah kedudukan juga.

Malangnya, bekas plastik tidak dapat menghalang kutu daripada bersarang dalam beras. Sekali kutu bersarang, habislah beras anda. Penat-penat beli beras mahal, beras rosak akibat gigitan kutu.

Jawapan untuk selesaikan masalah ini ada beberapa cara tetapi cara paling mujarab adalah dengan meletakkan cili kering di dalam bekas beras. Sifat cili kering yang panas akan membuatkan kutu-kutu lari daripada bahang cili. Senang sahaja, kan?

Tip 2 – Gantung bawang tahan lama

Masalah kedua yang sering kali membuatkan anda sakit kepala semestinya berkaitan dengan bawang. Bawang merupakan bahan makanan yang cepat rosak. Hal ini kerana bawang merupakan bahan makanan yang perlu ‘bernafas’.

Cara terbaik untuk elakkan bawang daripada layu, tumbuh pucuk mahupun menjadi rosak adalah dengan menggantung bawang anda atau simpan dalam raga yang mempunyai lubang-lubang kecil.

Tip 3 – Air sejuk menyegarkan sayur

Ramai pasti mengalami masalah sayur layu dalam peti sejuk setelah ia tidak terusik dalam peti sejuk untuk beberapa lama.

Ada 2 cara untuk selamatkan sayur dan duit anda. Cara pertama adalah dengan membalut sayuran berdaun dengan tisu dan dimasukkan dalam bekas kedap udara.

Cara yang kedua lebih menjimatkan iaitu dengan merendam sayur berdaun yang tidak layu dalam bekas berisi air sejuk. Rendam selama 15 minit dan lihatlah daun-daun yang kelihatan separuh mati kembali segar. Keberkesanan cara kedua ini tidak dapat dibuktikan lagi tetapi bolehlah anda cuba bereksperimen dan maklumkan kepada kami.

Tip 4 – Tangan berbau

Makanan Malaysia selalunya ada bau dan ia hasil bahan-bahan masakan yang digunakan seperti bawang dan cili.

Semasa memasak, mungkin anda tidak kisah dengan bau-bau itu di tangan atau di tubuh badan tetapi jika ada temu janji, anda pasti tidak mahu bau bawang mengalahkan bau minyak wangi yang digunakan itu.

Cara paling mudah adalah dengan menggosok tangan anda di sinki atau apa-apa barangan besi. Namun begitu, sinki dan barangan besi anda itu haruslah yang tahan karat ya. Nanti tak berkesan pula!

Tip 5 – Serbuk penaik pencuci versatil

Tip kelima ini pasti anda sudah biasa dengar. Dengan sedikit air dan serbuk penaik, anda mempunyai pencuci yang cukup berkesan.

Dengan bahan lain seperti cuka dan jus lemon, serbuk penaik dapat melakukan apa sahaja, daripada menanggalkan kesan degil di bekas plastik, mengilau permukaan yang kusam hinggalah menyerap bau-bau yang tidak menyenangkan dalam peti sejuk anda.

Tip 6 – Tiada lagi minyak meleting

Setiap kali minyak meleting di dalam kuali, anda pasti akan menjerit lari. Terkena minyak yang meleting tersangatlah sakit. Jadi, apa yang anda lakukan?

Panaskan kuali anda pada suhu yang rendah dahulu dan perlahan-lahan tingkatkan suhu. Pastikan juga bahan yang ingin dimasukkan kering sekering-keringnya (jika menggunakan bahan kisar, kurangkan lebihan adunan sebelum masuk ke dalam kuali).

Tip 7 – Tak nak ladu melekat

Siapa yang tak suka makan dimsum, ladu (dumpling) atau pau? Memang sedap apabila makan panas-panas. Tetapi, bagi tukang pembuat, sajian ini memang merenyahkan. Sudahlah anda perlu berhati-hati semasa proses menggelek doh dan membungkus isi, anda juga perlu pastikan ladu atau dimsum tidak melekat dengan satu sama lain semasa mengukus.

Cara untuk mengelakkan ladu atau dimsum anda melekat memang mudah, tabur sedikit garam di kulit ladu atau dimsum agar tidak melekat.

Dimsum atau ladu melekat kerana kelembapan yang ada pada kulit ladu akan mengering dan jika disusun rapat-rapat pasti melekat. Garam dapat mengekalkan kelembapan kulit ladu. Namun begitu, jangan letak terlalu banyak garam nanti terlalu masin.

Tip 8 – Hilangkan bau mulut

Bau makanan memang betul-betul kuat sehinggakan anda berus gigi sekerap manapun, khususnya bau bawang putih. Cara terbaik adalah dengan makan kobis atau salad. Kobis dan salad mempunyai bahan kimia yang dapat memusnahkan partikel-partikel berbau.
Tak percaya? Cuba baca laporan kajian dari Universiti Ohio. Kalau malas nak membaca, cuba sahaja tip ini!

Dalam usaha untuk anda menjadikan dapur anda lebih efisien, anda tidak boleh berhenti daripada bereksperimen. Walau apapun hasilnya, jangan berputus asa dan berusaha sehinggalah anda mendapat tip dapur yang paling berkesan untuk diri anda.