20 maut akibat tsunami di Selat Sunda

Tsunami menghempas pantai di sekitar Selat Sunda awal subuh tadi. (Gambar Google Maps)

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 20 terkorban apabila ombak tsunami menghempas pantai di sekitar Selat Sunda di Indonesia awal subuh hari ini, kata Agensi Mitigasi Bencana kerajaan dalam satu kenyataan.

Ia berkata 165 yang lain cedera.

Sehingga kini tiada angka tepat mengenai jumlah yang hilang dikeluarkan.

“Ia disebabkan oleh kombinasi tanah runtuh di dasar laut susulan aktiviti gunung berapi Anak Krakatau dan ombak besar,” kata jurucakap agensi, Sutopo Purwo Nugroho.

Menurut kenyataan Agensi Meteorologi, Iklim dan Geofizik (BMKG), “tsunami melanda beberapa kawasan di Selat Sunda, termasuk pantai di kabupaten Pandeglang, Serang dan Lampung Selatan.”

Tsunami berlaku pada jam 9.30 malam waktu tempatan, semalam, katanya.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional di Pandeglang, Endan Permana memberitahu Metro TV, polis memberi bantuan segera kepada mangsa di Tanjung Lesung, di wilayah Banten – sebuah kawasan tumpuan pelancong tidak jauh dari Jakarta kerana petugas kecemasan belum tiba ke lokasi kejadian.

“Ramai yang hilang,” kata Permana.