Hujung minggu ini buat apa? Daki bukit atau berlari? Nampaknya aktiviti fizikal ini semakin trending dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang melihat.

Apapun, ia adalah pilihan aktiviti yang baik untuk kesihatan, jadi eloklah meluangkan masa bersama keluarga atau rakan dalam aktiviti sedemikian.

Pun begitu ramai yang masih keliru dengan terma-terma larian yang digunakan penganjur, misalnya larian Viper, marathon separuh, larian trail dan sebagainya. Adakah anda sedar atau tahu mengenai maksud di sebalik nama larian itu?

Jangan main daftar sahaja, FMT Ohsem menyenarai jenis-jenis larian yang popular sebagai aktiviti santai, berupa pertandingan mahupun dilakukan atas tujuan tertentu agar anda memahami secara lanjut mengenai larian tersebut. Jom baca!

1. Larian jalan atau merentas desa

Anda pasti terlibat dalam larian merentas desa ketika di bangku sekolah. Larian jalan atau Road Run juga membawa pemahaman dan serupa dengan merentas desa di mana pelari berlari di atas jalan tar lazimnya di tengah bandar atau ibu kota. Ia boleh bermula daripada 5km dan kepada jarak yang lebih jauh. Antara contoh larian jalan ialah:

  • Fun Run
  • Half Marathon
  • Full Marathon
  • Ultra Marathon

Kalau anda nampak ada orang berlari di tepi jalan atau jalan ditutup untuk acara ini, hormati acara tersebut. Lazimnya pegawai berkuasa seperti polis trafik, pegawai perubatan dan anggota Rela ditempatkan untuk menjaga keselamatan pelari dan mengawal trafik.

2. Larian Trail

Ini antara larian yang paling menyeronokkan bagi mereka yang mahukan sedikit cabaran sambil menikmati alam semula jadi. Larian trail membabitkan berlari di dalam hutan, ladang kelapa sawit, berhampiran sungai, pendakian bukit dan sebagainya. Peserta larian ini lebih berpengalaman dalam larian professional atau berilmu mengenainya kerana ia bukan sahaja memerlukan kudrat tetapi kebijakan mengendali setiap cabaran. Mereka mungkin berdepan jalan berbatu, berbukit, cerun atau berlumpur.

3. Towerthon

Larian ini juga agak mencabar dan memerlukan stamina yang tinggi. Ini kerana ia bukan sekadar membabitkan larian tetapi memerlukan peserta mendaki tangga sesebuah menara. Menara Kuala Lumpur (MKL) adalah antara menara yang mengadakan Towerthon sebagai acara tahunan mereka. Peseta berlari beberapa kilometer di jalan raya dan terus menaiki tangga ke puncak bangunan. Kalau rajin naik turun tangga, bolehlah cuba!

4. Larian berhalangan

Satu lagi acara larian yang penuh cabaran tetapi seronok dan semakin diminati. Larian berhalangan ini memerlukan peserta bukan sahaja berlari tetapi melalui beberapa cabaran ala-askar seperti merangkak, memanjat, melutut dan banyak lagi.
Larian seperti Viper Challenge dan Spartan Race adalah kategori larian berhalangan. Pastikan anda berpakaian dan berkasut sesuai kalau nak sertai larian ini kerana ia bukan sembarangan larian.

5. Triathlon

Triathlon, tidak sepopular larian lain, namun ia juga mempunyai pengikutnya tersendiri. Aktiviti ini memerlukan kemahiran khusus kerana ia bukan sekadar membabitkan larian tetapi berenang dan berbasikal. Antara acara penuh cabaran, ia membabitkan masa dan jarak yang agak signifikan.

6. Larian maya

Larian ini boleh membabitkan jarak yang sangat jauh, seperti 100km atau 500km tetapi tidak dilakukan sekaligus. Sebaliknya larian ini didaftarkan dalam talian dan disempurkan mengikut tempoh masa pelari itu sendiri. Walaupun pelaksanaannya masih segar di Malaysia tetapi ia juga mendapat respon yang baik. Peserta akan diberi nombor larian dan baju. Menggunakan nombor dan baju itu, pelari harus menyempurnakan jarak tertentu dalam tempoh yang diberikan, tanpa mengira lokasi atau waktu. Pelari juga perlu merakam bukti larian yang boleh dilakukan menggunakan mana-mana aplikasi larian. Sebaik memenuhi syarat dan menyempurnakan larian, pelari akan diberikan pingat.

7. Larian warna

Larian ini dilakukan secara santai dan penuh keseronokan kerana pelari akan menabur serbuk warna sepanjang larian. Seolah festival Holi kaum India tetapi dilakukan dalam acara larian. Ia dilakukan dalam jarak yang dekat dan peserta haruslah bersedia untuk ‘mengotorkan’ diri sepanjang larian.