Peruntukan Perhebat kekal RM28.5 juta, ikut kewangan semasa, kata menteri

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (dua dari kanan) berkata, dengan jumlah peruntukan itu lebih 10,000 bakal pesara tentera dapat dilatih.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan hari ini mengesahkan peruntukan belanjawan kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) kekal seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, sebanyak RM28.5 juta.

Menterinya Mohamad Sabu berkata, kementerian sudah menilai dan menimbangkan peruntukan khas kepada Perhebat dengan jumlah tersebut.

Bagaimanapun katanya, peruntukan akan dinaikkan dari masa ke masa mengikut kemampuan kewangan negara.

“Buat masa ini, peruntukan Perhebat masih lagi pada tahap sama.

“Tapi ia boleh meningkat dalam peruntukan belanjawan tambahan yang saya yakin boleh berlaku mengikut perkembangan semasa kewangan negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil pertauliahan pada Majlis Konvokesyen Perhebat kali ke- 52 di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 1,162 bakal pesara dan veteran tentera direkodkan dalam istiadat konvokesyen tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan kementerian itu akan menilai semula peruntukan kepada Perhebat dalam memastikan kebajikan institusi itu, selain berupaya menawarkan latihan persediaan kepada pesara tentera.

Mohamad dilaporkan berkata, ketika ini peruntukan disediakan berkurangan daripada RM32 juta setahun kepada RM27 juta berikutan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan.

Namun, beliau sekali lagi mengesahkan, peruntukan yang diterima bukan sebanyak RM27 juta tetapi RM28.5 juta.

Apabila ditanya, sama ada peruntukan itu mampu menampung kos latihan persedian kepada pesara tentera, beliau berkata, dengan jumlah itu sahaja seramai lebih 10,000 pelatih mampu dilatih.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, hubungan baik antara tentera Malaysia dan Indonesia akan kekal terjamin meskipun terdapat cubaan menculik 5 warganegara ini di Sarawak baru-baru ini.

Katanya, walau apapun yang berlaku dan bakal tercetus, kedua-dua pihak akan membawanya ke meja rundingan untuk diselesaikan.

Sebelum ini, akhbar Berita Harian melaporkan 5 orang rakyat Malaysia di Sarawak diculik oleh sekumpulan tentera Indonesia yang menceroboh masuk ke negeri itu.

Kelima-lima mangsa dilaporkan menerima ugutan ditembak kerana disyaki oleh tentera Indonesia mencuri hasil hutan di sempadan negara itu.

Mohamad bagaimanapun berkata, insiden itu tidak akan memberi kesan buruk kepada hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara itu.

“Tidak akan jejaskan 2 negara ini, kalau ada masalah boleh selesai dengan berunding,” katanya.