
Katanya, langkah itu dapat memasikan rakyat menikmati penjimatan serta-merta, jika berlaku kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia.
“Saya secara konsisten telah menyuarakan pandangan bahawa kaedah terbaik dan paling adil untuk mengelakkan rakyat membayar harga minyak lebih tinggi daripada harga pasaran adalah menyemak harga mengikut formula secara mingguan,” katanya dalam surat terbuka kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, perlu ada subsidi untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga minyak mentah dunia dengan menetapkan harga siling.
Katanya, Mekanisme Harga Automatik (APM) sesuai digunakan kerajaan ketika harga minyak mentah dunia melonjak dalam beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan subsidi untuk mengekalkan harga RON95 pada harga RM2.20 seliter.
Tetapi, Rafizi berkata, harga minyak mentah dunia menurun secara mendadak sejak beberapa minggu lalu dan harga RON95 sepatutnya kurang daripada RM2.20 seliter, jika dikira menggunakan formula mingguan.
Katanya, semakan harga minyak menggunakan formula mingguan akan menyaksikan harga RON95 berkurangan 20 sen untuk beberapa minggu akan datang.
Katanya, beliau sudah menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk menyuarakan kebimbangannya berhubung perkara itu.
Harga minyak mentah jatuh ke paras terendah dalam tempoh setahun Selasa lalu, merosot antara 4% dan 7% sepanjang minggu lalu, diheret kelembapan ekonomi dunia, selain kebimbangan terhadap lebihan bekalan dalam pasaran minyak.
Pada awal minggu ini, petunjuk minyak mentah Brent berada pada AS$60.25 setong dan berkurangan kepada AS$54.88 pada Jumaat lalu.
Hari ini, Lim dilaporkan berkata, kerajaan hanya akan menyemak Belanjawan 2019 jika harga minyak mentah susut kurang daripada AS$50 setong.
Katanya, Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan itu berasaskan harga minyak mentah AS$70 setong.