Gambar PCM.

Diibaratkan seperti mendapat nyawa baru, Dass Santhanam berasa sangat bersyukur dan terpanggil untuk menyumbang kepada komuniti kanser. Peluang itu tiba pada tahun 2002, beliau menghadiri satu temujanji di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan bagaikan sudah tertulis perjuangan Dass bagi membantu pesakit kanser prostat yang lain apabila NCSM membantu beliau menubuhkan Kumpulan Sokongan Kanser Prostat.

“Doktor saya telah merujuk saya kepada NCSM untuk melakukan imbasan tulang yang disediakan oleh pihak NCSM. Sementara menunggu giliran, kakitangan NCSM mencadangkan agar saya menunggu di pusat sumber mereka, sementara menunggu saya boleh membaca. Ketika di pusat sumber tersebut, saya bertemu dengan sukarelawan NCSM yang mencadangkan agar saya menyertai aktiviti kumpulan sokongan kanser yang dianjurkan oleh mereka.”

“Beberapa ketika selepas imbasan tulang di NCSM, saya pun sertai kumpulan sokongan tersebut buat pertama kalinya. Saya berasa sangat teruja kerana dapat bersama rakan-rakan senasib yang berjuang untuk hidup selepas menghidapi kanser. Kisah dan pengalaman mereka merupakan satu inspirasi dan pemberi semangat kepada saya.”

“Sepanjang aktiviti kumpulan sokongan berlangsung, saya dapati ada jurang emosi dalam kalangan kami. Kebanyakkan kaum wanita yang menyertai aktiviti tersebut adalah mereka yang menjadi mangsa kanser payudara. Ada yang sudah menjalani pembedahan membuang payudara mereka. Walaupun begitu, semangat mereka sangat kuat dan tidak malu untuk memberitahu semua orang yang mereka mempunyai kanser dan biarpun kanser telah merampas kewanitaan mereka, namun mereka tetap akan meneruskan kehidupan dengan sepenuhnya.”

Jurang emosi pesakit kanser lelaki dan wanita

“Tapi halnya berbeza dengan pesakit kanser lelaki terutamanya kanser prostat. Ini kerana, mereka berasa malu untuk bercerita mengenai keadaan mereka apatah lagi memberitahu orang ramai mengenai hilangnya keupayaan mereka sebagai seorang lelaki seperti mana lelaki normal yang lain. Ini kerana, apabila anda sedang menjalani rawatan hormon bagi menghalang perkembangan kanser, anda akan disuntik dengan hormon estrogen dan hormon tersebut merencat hormon testosteron yang menjadi punca kehadiran kanser prostat. Suntikan hormon estrogen telah membuatkan pesakit kanser prostat hilang minat terhadap kehidupan seksual kerana tiadanya libido. Jadi, tak macho lah untuk lelaki bercerita hal sedemikian!” kata Dass lagi.

Melihatkan kepada jurang ini, Dass merasakan perlunya satu kumpulan sokongan khas untuk pesakit kanser lelaki terutamanya kanser prostat.

Beliau dan rakan-rakan seperjuangan yang lain di NCSM, merintis penubuhan Kumpulan Sokongan Kanser Prostat yang memberikan sokongan emosi dan mental kepada pesakit yang didiagnosis dengan penyakit tersebut. Kumpulan ini juga berfungsi dengan memberi sokongan kepada keluarga pesakit menerusi bimbingan dan nasihat bagaimana mereka boleh menjadi lebih kuat dan efektif dalam memberi penjagaan kepada pesakit.

Kumpulan Sokongan Kanser Prostat terdiri daripada pesakit dan pejuang kanser, berjumpa setiap 2 bulan sekali pada hari Khamis ketiga pada bulan tersebut, berkongsi mengenai pengalaman mereka berjuang melawan kanser, menjalani rawatan dan berfikiran positif walau apa sekalipun cabaran yang mendatang.

Terima kenyataan hidup, lebih tenang di hati

Sudah hampir 20 tahun Dass dan perjuangannya menentang kanser. Beliau sangat befikiran positif dan tidak pernah menyerah kalah. Pada ketika beliau bertarung dengan kanser, beliau turut menjalani pembedahan kecil akibat serangan jantung. Dass mendapatkan rawatan untuk keadaan jantung beliau di Institut Jantung Negara (IJN) dan di atas sikapnya yang sentiasa positif, pihak IJN sering menjemput Dass untuk berkongsi pengalaman dan memberikan semangat kepada para pesakit menerusi organisasi Rakan IJN.

“Sewaktu menjalani rawatan untuk kanser, terdapat kesan sampingan lain yang turut memberi cabaran kepada saya. Saya mula mendapat diabetes, ostopenia di mana kadar ketumpatan mineral dalam tulang yang rendah daripada biasa serta pembengkakan buah dada.”

“Saya sudah lama menerima kenyataan hidup saya dan jika saya boleh membantu para pesakit bagi menghadapi kesan sampingan seperti mana yang saya alami, saya harus bantu mereka! Selepas pembedahan pintasan jantung, saya memberikan komitmen saya kepada Rakan IJN setiap hari Jumaat dengan bertemu para pesakit secara peribadi dan berkongsi pengalaman saya berdepan dengan penyakit dan kesannya,” Dass menambah lagi mengenai kesungguhannya untuk membantu mereka yang senasib dengannya.

Ditanya bagaimana beliau sentiasa mengekalkan pemikiran positif sepanjang masa, beliau menjawab, “Saya selalu membuatkan diri saya sibuk. Dan saya tidak mahu terlalu memikirkan masalah saya, tapi menumpukan tenaga saya untuk membantu orang lain. Dengan cara itu, saya akan lupa mengenai kesakitan saya.”

Kami difahamkan sehari sebelum temubual ini berlangsung, Dass telah kehilangan abangnya yang meninggal dunia akibat sakit tua. Namun begitu, tidak sedetik pun di wajah beliau menampakkan kesedihan dan kemuraman. Yang terpancar hanya kemesraan dan semangat membara untuk teruskan kehidupan.

“Yang hidup pasti akan mati. Yang pergi tetap pergi, kita yang masih hidup, kenalah teruskan perjuangan kita dengan penuh semangat dan fikiran positif. Memang sedih kehilangan ahli keluarga, tapi dengan pemergian mereka, sekurang-kurangnya mereka dapat pergi dengan aman setelah bertarung dengan keadaan kesihatan mereka untuk sekian lamanya. Pemergian mereka juga menjadi penguat untuk kita terus menghargai kehidupan,” pesan Dass lagi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.