Tsunami di Indonesia ragut lebih 200 nyawa

Angka korban dikhuatiri terus meningkat kerana pasukan mencari dan menyelamat belum dapat memasuki semua kawasan terjejas. (Gambar AFP)

JAKARTA: Tsunami yang berlaku di Selat Sunda tanpa disebabkan gempa bumi kini mengorbankan lebih 200 nyawa.

Berdasarkan data dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNBP) setakat 4 petang tadi, seramai 222 orang maut, 843 cedera dan 28 dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, sebanyak 556 rumah dilaporkan musnah, 9 hotel mengalami kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.

“Tidak ada korban warganegara asing. Semua warga Indonesia. Korban dan kerosakan ini meliputi 4 kabupaten, iaitu Kabupaten Pandeglang, Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumlah itu dikhuatiri terus meningkat kerana pasukan mencari dan menyelamat belum dapat memasuki semua kawasan terjejas akibat tsunami itu.

Sementara itu, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dipetik agensi berita Antara berkata, tsunami itu merupakan kejadian luar biasa kerana ia bukannya susulan daripada gempa bumi.

“Ini suatu kes yang tidak biasa, tsunami tanpa gempa. Jadi, gejalanya ada kemungkinan dari perubahan atau letusan Gunung Anak Krakatau,” katanya.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan berkata, tsunami pada 9.27 malam Sabtu itu disebabkan gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan di Gunung Anak Krakatau.

BMKG masih melakukan penyelidikan terperinci punca berlakunya tsunami itu.

Tsunami itu dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di dasar laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau yang disusuli air pasang, gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan tsunami berlaku secara tiba-tiba.