5 polis antara 15 disiasat berhubung kematian SB

5 polis antara 15 disiasat berhubung kematian SB

Semua individu dipercayai mempunyai maklumat dan berada di lokasi semasa insiden yang menimpa Koperal Sofian Shahari.

Seorang anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas kawasan parkir kereta di depan hotel di Pulau Tikus, Isnin lepas.
GEORGE TOWN:
Polis merakam keterangan 15 individu termasuk 5 anggota polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggota polis Cawangan Khas yang ditemui mati dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan hotel di Pulau Tikus, pada 17 Dis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A Thaiveegan berkata 10 individu yang dirakamkan keterangan itu terdiri daripada orang awam yang dipercayai mempunyai maklumat dan berada di lokasi semasa insiden yang menimpa Koperal Sofian Shahari, 47 tahun.

“Polis akan memanggil beberapa lagi saksi kemungkinan dalam 10 orang lagi yang terdiri daripada orang awam untuk direkodkan keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan kes itu, tiada lagi anggota polis yang akan dipanggil kerana 5 orang yang berada bersama si mati telah diambil kenyataan mereka.

“Kertas siasatan kes itu dijangka dapat dilengkapkan minggu hadapan dan selepas itu ia akan diserakan kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,”katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinichiro Kanoya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Katanya 5 anggota polis berusia 40 hingga 50-an yang sebelum ini ditahan membantu siasatan kes itu dan turut positif dadah ditukarkan serta merta ke bahagian Lokap Berpusat.

Thaiveegan berkata setakat ini pihak polis juga masih belum menerima laporan akhir daripada Jabatan Kimia berhubung kes berkenaan.

“Kami akan mempercepatkan siasatan kes ini dengan memanggil saksi-saksi kejadian dalam masa terdekat dan saya minta orang ramai tidak terus membuat spekulasi serta biar polis jalankan siasatan terperinci,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mayat mangsa, iaitu anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut ditemukan oleh seorang pekerja hotel dalam keadaan tertiarap di atas kawasan parkir kereta di depan hotel di Pulau Tikus, Isnin lepas.

Sebelum kejadian, mangsa yang berpangkat koperal dan berkhidmat dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) lebih 19 tahun dipercayai berada di sebuah pusat karaoke di situ bagi menyambut majlis hari jadi seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Siasatan di lokasi kejadian menemui beg dan selipar sebelah kiri milik mangsa di tingkat 2 hadapan sebuah klinik pergigian di bangunan pusat karaoke berkenaan.

Selain itu, pemeriksaan lanjut di tingkat 4 bangunan sama, polis menemui cebisan langsir di kaki 5 pusat karaoke berkenaan, manakala dompet termasuk kad kuasa dan telefon bimbit mangsa turut hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.