
Menteri Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan berkata peguam berkenaan, Syazlin Mansor akan memberikan khidmat nasihat guaman kepada keluarga Adib dan bomba.
“Selain memberikan khidmat nasihat guaman kepada keluarga Adib dan bomba, peguam pemerhati yang dilantik ini akan turut membantu polis dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding kes tersebut,” katanya.
Sementara itu, Zuraida yang ditemui selepas menjadi panel program Upsound di Bernama News Channel (BNC) berkata peguam pemerhati berkenaan akan berada di mahkamah setiap kali perbicaraan bagi membantu pihak pendakwaan.
“Sekiranya terdapat perkara yang dianggap terlepas pandang atau perlu penelitian dan sebagainya, beliau boleh memberi pandangan dan input untuk kebaikan semua,” katanya.
Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin lepas selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor pada 27 November lepas.
Jenazah Adib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah pada hari berikutnya.
Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata laporan penuh siasatan kes lemas 6 anggota penyelamat di lombong di Puchong akan diumumkan bulan depan.
“Siasatan dalaman telah selesai. Kita telah bentuk jawatankuasa terdiri daripada 6 orang yang pakar dalam bidang ini dan dipengerusikan oleh seorang profesor. Ia akan dibentangkan kepada saya dalam minggu ini sebelum kita sebarkan kepada umum pada Januari,” katanya.
Beliau berkata tatacara operasi standard (SOP) operasi menyelamat di air yang dilaksanakan pihak bomba boleh ditambah baik berdasarkan laporan berkenaan bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.
“SOP harus dinaik taraf dari semasa ke semasa dan sudah tentu insiden ini akan digunakan sebagai model dan kajian untuk meningkat SOP berkenaan jika ada keperluan,” katanya.
Pada 3 Oktober lepas, 6 anggota bomba terkorban semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.