Ramalan Indonesia akan ditimpa bencana selepas tsunami resahkan rakyat

Ramalan Indonesia akan ditimpa bencana selepas tsunami resahkan rakyat

Kiriman SMS mendakwa BMKG mengingatkan rakyat Indonesia berwaspada kerana akan berlaku bencana mulai 21 Disember hingga penghujung tahun ini.

Tsunami di Selat Sunda mengorbankan 222 orang, 843 cedera dan 28 dilaporkan hilang. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Terdapat maklumat palsu yang disebarkan dalam kalangan pengguna media sosial susulan tsunami di Selat Sunda yang berlaku Sabtu lalu, yang menimbulkan keresahan penduduk republik itu.

Kompas melaporkan satu kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) mendakwa Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) mengingatkan rakyat Indonesia supaya berwaspada kerana akan berlaku bencana mulai 21 Disember hingga penghujung tahun ini.

“Perhatian kepada warga Indonesia, pada tarikh 21 sampai akhir bulan Disember senantiasa berwaspada kerana akan ada bencana yang akan menimpa negara Indonesia, hal ini disampaikan oleh pegawai BMKG supaya selalu berhati-hati..” menurut SMS tersebut.

Bagaimanapun BMKG menafikan pihaknya mengeluarkan maklumat berkenaan dan ia didapati palsu.

BMKG dalam maklum balasnya melalui Twitter berkata: “Abaikan saja. Sila beraktiviti seperti biasa. Gunakan waktu cuti panjang untuk berhubungan dan makan angin bersama kawan-kawan. Tetapi jangan lupa menyemak maklumat cuaca untuk cuti Krismas dan Tahun Baru.”

Setakat ini, tsunami yang berlaku di Selat Sunda tanpa disebabkan gempa bumi mengorbankan lebih 200 nyawa.

Berdasarkan data dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNBP) setakat 4 petang semalam, seramai 222 orang maut, 843 cedera dan 28 dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, sebanyak 556 rumah dilaporkan musnah, 9 hotel mengalami kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.