
Wong berkata kedua-dua parti mempunyai suatu persefahaman iaitu PPBM tidak akan bertapak di negeri itu.
“Kalau mereka masuk, perlu pertimbangkan kemungkinan kita akan bertembung pada pilihan raya.
“Sudah tentu kami tidak boleh halang kerana kita mengamalkan demokrasi tetapi tidakkah mereka mahu bertanding pilihan raya?
“Kami tidak berbincang mengenai kemasukan PPBM kerana persefahaman antara kami ialah mereka tidak akan datang ke Sabah,” katanya kepada FMT.
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin awal hari ini berkata partinya sedang berbincang dengan Warisan tentang sama ada ia akan menubuhkan cawangan di Sabah kerana terdapat permintaan di negeri itu.
Beliau berkata kemasukan parti itu bergantung kepada keizinan Warisan, parti dominan di negeri itu.
“Lagi mudah kalau semua boleh sertai Warisan, tetapi kalau mereka mahu sertai PPBM, kita perlu berunding dengan Warisan terlebih dahulu sebelum menubuhkan cawangan,” kata Muhyiddin lapor The Star.
Muhyiddin mengulas laporan kira-kira 2,000 rakyat Sabah di Semenanjung memohon menjadi ahli PPBM.