Gambar Unsplash.com.

Semasa sedang hangat bercinta, terlalu susah untuk kita melupakan pasangan yang dicintai. Terbayang-bayang wajah si dia sahaja sepanjang masa.

Namun, selepas anda berkahwin dan mempunyai anak, banyak perkara dalam kehidupan suami isteri yang berubah. Si suami mahu melakukan hubungan intim hampir setiap malam, tetapi si isteri pula menolak. Mengapa si isteri berkelakuan demikian?

Terdapat banyak sebab di sebalik perubahan citarasa dan nafsu seorang wanita selepas berkahwin. Malah seorang wanita sudah lama berkahwin tidak semestinya sama seperti mula-mula berkahwin dahulu. Dia mungkin sudah jauh berbeza dari segi menjalinkan hubungan intim atas beberapa sebab termasuk kesihatannya sendiri.

FMT Ohsem memetik 5 sebab paling utama seorang isteri memperlahankan aktiviti seksnya atau menolak melakukan perhubungan intim dengan suaminya.

1. Tiada rasa ‘berhubung’ dengan suami

Sebagai suami anda sering bercakap dengan si isteri mengenai rutin hariannya di rumah setiap hari, sedangkan dia perlukan lebih dari itu.

Si isteri mahu dia selalu diberi perhatian, mendengar semua luahan perasaan dan fahami isi hatinya.

Si isteri juga merasa kesunyian dan terperangkap bersendirian di mana mengharapkan si suami untuk membantu melepaskannya dari derita ini.

Apa yang perlu anda lakukan ialah, berborak dengannya mengenai diri dia. Ambil tahu perasaan si isteri dan berkongsilah segala luahan anda kepada dia.

2. Tiada keyakinan diri

Bentuk badan isteri akan berubah selepas melahirkan anak, tidak lagi sama sewaktu mereka sebelum kahwin atau masih dara. Mereka juga sedar akan perubahan itu dan sering memikirkan tentang dirinya dan membuat bandingan dengan wanita lain.

Bagi para suami pula, inilah masanya untuk anda memberi keyakinan diri kepada isteri dengan kata-kata, bahasa badan dan mata anda. Beritahu si isteri, dia tetap kelihatan cantik dan jangan sesekali beri komen negatif mengenai bentuk badannya.

Apabila anda pulang dari kerja, salam dan beri pelukan rapat sebelum melayan anak-anak. Selalulah melihat isteri seperti cinta pandang kali pertama. Ia akan menambahkan keyakinan isteri dan menghangatkan cinta anda berdua.

3. Nafsu seks wanita berkurangan ikut usia

Kajian menunjukkan sepanjang perhubungan suami dan isteri, keinginan wanita untuk melakukan perhubungan seks menurun sementara keinginanya beralih selari dengan peningkatan usianya.

Manakala si suami pula akan kekal dengan nafsu untuk melakukan perhubungan seks.

Dalam situasi ini, si suami perlu fahami realiti dan bersabar dengan isteri. Anda tidak boleh memaksa isteri tanpa kerelaanya. Berlembut dengan ‘perangai’ mereka yang mungkin terkesan dari segi fizikal dan emosi.

4. Penat, stress, atau mengalami kemurungan

Menjadi seorang ibu sangat memenatkan kerana banyak tanggungjawab yang perlu dilakukan untuk memenuhi rutin harian sehinggalkan ada kalanya mereka berdepan stres atau kemurungan.

Suami sepatutnya membantu isteri dengan memberikan dia ruang rehat serta ‘bercuti’ sementara dari tanggungjawab itu. Ambil anak-anak keluar berjalan-jalan seharian atau beberapa jam dan biarkan si isteri berehat. Bantulah isteri selesaikan tugasan di rumah, ini termasuk bagi suri rumah.

Jika si isteri tertekan, suami perlu bantu supaya dia berasa tenang. Bagaimana? Urutlah isteri anda kerana sentuhan ikhlas dengan niat bertimbang rasa itu akan menenangkan dirinya. BErilah kata-kata motivasi dan bawalah isteri ke sesi memanjakan diri.

5. Fokus menjadi ibu lebih kuat daripada menjadi isteri

Seorang wanita sesudah menjadi ibu lebih mengutamakan peranannya menjadi ibu yang sempurna. Dalam fasa ini, mereka mungkin membelakangkan keutamaan kepada suami. Mereka mahu patikan anak dibesarkan dalam suasana sempurna dan menyalahkan diri jika ada kesilapan. Kerap kali merekaboleh menjadi terlalu obses untuk menjadi sempurna.

Disebabkan itu, hubungan suami dan isteri semakin hilang dan tidak intim.

Sebagai suami anda perlu bercakap dengannya setiap hari mengenai perasaan dan tidak mendesaknya.

Puji isteri anda sebagai seorang wanita dan juga ibu yang terbaik untuk keluarga. Biar mereka tahu suaminya sangat menyayangi, merinduinya, melindungi dan mahu bersama dalam apa jua situasi. Ini akan membuatkan hubungan suami dan isteri lebih intim.