Pemancing dilapor hilang ketika air pasang ditemui lemas di pantai Mersing

Mangsa dilapor hilang selepas cuba menyeberang dari kawasan berbatu terletak kira-kira 250 meter dari pantai untuk kembali ke daratan. (Gambar file)

JOHOR BAHRU: Seorang pemancing yang dilapor hilang ketika berenang untuk kembali ke pantai ketika air pasang di pantai Kampung Seri Pantai, dekat Mersing, dua hari lepas, ditemukan lemas di tepi pantai itu, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing ASP Mohd Nor Mohd Isa berkata, mayat Sudirman Mohamad, 38, ditemui orang awam terdampar di pantai berhampiran sebuah resort di Teluk Iskandar, di kampung berkenaan kira-kira 11 malam tadi.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat.

“Mayat dicam oleh anggota keluarganya sebagai Sudirman Mohamad yang hilang di pantai Kampung Seri Pantai pada 23 Dis lepas (Ahad),” katanya yang dihubungi hari ini.

Mohd Nor berkata, bedah siasat mengesahkan punca kematian Sudirman akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Terdahulu, Sudirman dilapor hilang selepas cuba menyeberang dari Batu Sirik (kawasan berbatu) yang terletak kira-kira 250 meter dari kawasan pantai berkenaan untuk kembali ke daratan bersama seorang rakannya.

Sudirman bersama rakannya pergi ke lokasi berkenaan pada 7.30 malam ketika air surut, bagaimanapun ketika mahu pulang pada kira-kira 10.20 malam, kedua-duanya menyedari air laut mulai pasang.