Rakan pelbagai agama berkumpul sambut Krismas

Rakan pelbagai agama berkumpul sambut Krismas

Fazura akui sebagai perayaan universal, dia meraikan Krismas bersama rakannya demi menghormati sensitiviti dan memberi sokongan.

Fazura bersama rakan sekerja yang lain menyambut Krismas demi menggembirakan Gareth (Paling kiri)

Menyedari rakan sekerja tidak dapat pulang ke kampung sempena Krismas ekoran kekangan kerja, seorang wanita muda sanggup menguruskan sambutan tersebut bersama rakan-rakan yang lain.

Fazura Najwan, 30an menghubungi rakan-rakan sekerja yang lain untuk berkumpul bersama Gareth Dawum yang tidak dapat balik menyambut Krismas di kampung halamannya, di Kuching Sarawak.

Dan ini bukan kali pertama dia melakukan demikian, malah dilakukan 5 kali apabila rakanya itu tidak dapat pulang ke kampung pada Krismas.

Fazura dan rakan memasak makanan kegemaran Gareth selain sebahagian lain membawa makanan dari rumah untuk dimakan bersama pada hari Krismas.

Rutin tahunan itu dilakukan bersama rakan-rakan sepejabat yang lain dan berkongsi perayaan dengan Gareth walaupun berbeza agama, bangsa mahupun budaya.

Fazura juga sanggup mengeluarkan modal sendiri dan berkongsi dengan rakan-rakan lain untuk membeli barang masakan basah sebelum bergotong-royong di dapur rumah rakannya yang menetap di Pandan Indah.

“Sebagai kawan baik, tidak salah kami menyambut bersama dengan memasak hidangan kegemarannya, asalkan ia halal,” ujarnya.

Katanya, walaupun tidak menyediakan hidangan ayam belanda panggang sebagai menu utama tetapi mereka akan cuba memasak sebanyak mungkin makanan kegemaran Gareth.

“Lagipun apabila kami berkumpul berama-ramai, sekurang-kurangnya keadaan itu menutup kesedihan yang dirasai kerana tidak dapat berkumpul dengan ahli keluarga yang jauh di kampung halaman,” kata Fazura kepada FMT Ohsem.

“Kadang kala ada juga rakan-rakan yang membawa masakan dari rumah dan kami akan makan beramai-ramai, semua ini mengeratkan hubungan kami,” katanya.

Tambah Fazura, sambutan tahun ini akan lebih ceria berbanding sebelum kerana mereka berancang untuk bertukar-tukar hadiah.

Katanya walaupun hadiah yang diberikan bukanlah barangan berharga tetapi ia akan kekal sebagai tanda saling menghargai dan menghormati rakan sekerjanya.

Bagaimanapun, tahun ini sambutan Krismas akan dilakukan pada minggu hadapan kerana Gareth berpeluang pulang ke kampung halaman.

Ini merupakan kali kedua dia pulang pada sambutan Krismas selepas beberapa tahun bekerja di Kuala Lumpur. Pun begitu, ia tidak menghalang Fazura dan rakan-rakan merancang untuk membeli hadiah dan diberikan semasa sambutan selepas Garesth pulang kelak.

“Sambutan Krismas adalah perayaan universal, walaupun beragama Islam, saya meraikan demi menghormati sensitiviti rakan sepejabatnya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi wanita, Shaniz Mobarak berkongsi kewajipan keluarga menziarahi rakan-rakan yang menyambut Krismas.

Menjadi amalan keluarga Shaniz untuk menyambut Krismas bersama kenalan

Budaya itu diamalkan keluarga Shaniz sejak dia masih kecil lagi. Ibu bapanya membiasakan dia dan adik-beradik lain mengunjungi ke rumah sahabat handai setiap kali Krismas.

Shaniz berkata, hidangan ayam belanda panggang adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu sewaktu sambutan tersebut.

Shaniz dan adiknya tidak kekok menghias pokok Krismas

Malah, keluarganya sendiri akan membawa masakan dari rumah dan saling bertukar hidangan.

“Tidak salah menyambut perayaan lagi pun ia boleh eratkan lagi hubungan sesama sendiri selain dapat berkenalan dengan ahli keluarga mereka yang lain.

“Kalau biasa kita hanya kenal seorang rakan, tetapi bila ada perayaan begini kita berpeluang untuk berkenalan dengan ahli keluarga mereka,” katanya .

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.