Video kereta peronda diserang rakaman lama, kata polis

Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR: Rakaman video sebuah kereta peronda polis diserang sekumpulan individu kononnya berlaku pada sambutan Krismas di ibu negara awal pagi tadi rakaman lama.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata rakaman insiden yang berlaku pada 2014 itu disebarkan semula dipercayai untuk mengganggu ketenteraman pada sambutan perayaan berkenaan.

“Video itu adalah kes lama yang dikitar semula…yang sebenarnya tiada apa-apa yang berlaku (pada sambutan Krismas),” katanya kepada media menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Rakaman berdurasi 1 minit 42 saat yang tersebar di laman sosial memaparkan beberapa individu melempar botol air dan menyembur “snow spray” ke arah kereta peronda polis.