9 pendaki sesat di Bukit Bendera berjaya ditemui

9 pendaki sesat di Bukit Bendera berjaya ditemui

Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata 9 pendaki itu ditemui pada jam 1.05 pagi tanpa mengalami kecederaan.

Pendaki bergambar bersama anggota penyelamat dari Bagan Jermal dan Paya Terubong selepas diselamatkan. (Gambar Bomba)
GEORGE TOWN:
Sembilan pendaki lelaki dan wanita yang tersesat dalam hutan ketika menjalankan aktiviti pendakian di Bukit Bendera dijumpai anggota bomba awal pagi ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata 9 pendaki itu ditemui pada jam 1.05 pagi tanpa mengalami kecederaan.

Pendaki itu terdiri daripada 7 lelaki dan 2 wanita yang berumur antara 24 hingga 61 tahun.

Berdasarkan koordinat yang diberikan pasukan penyelamat, pendaki itu ditemui kira-kira 1km ke barat daya dari stesen puncak Bukit Tinggi. Mereka dalam keadaan bersemangat dan berterima kasih kepada pasukan penyelamat ketika mereka bergambar bersama.

Google earth menunjukkan lokasi di mana pasukan penyelamat menemui pendaki di Bukit Bendera.

Kumpulan itu menghubungi talian kecemasan 999 pada jam 7.30 malam tadi, mengatakan mereka sesat di dalam hutan.

Mereka juga memberikan koordinat mereka melalui aplikasi lokasi telefon bimbit dan berkata mereka berdekatan dengan Rain Gauge 7, alat mengukur hujan yang dipasang pihak berkuasa air negeri.

Ketika 2 jentera dari Balai Bomba Bagan Jermal dan Paya Terubong menghampiri mereka, kumpulan itu menyalakan api dan anggota penyelamat dapat menghubungi salah satu telefon mangsa.

Menurut Penang Hill Corporation (PHC), agensi kerajaan yang menguruskan Bukit Bendera, pasukan penyelamat menghabiskan “masa berjam-jam” mendaki ke lokasi kejadian dan membahayakan diri mereka dengan memasuki hutan pada waktu malam.

Pengurus Besar PHC, LL Cheok berkata, agensi kerajaan sentiasa menasihati pendaki mengelak mendaki pada waktu malam, kerana mereka berisiko tersesat dan boleh diserang reptilia beracun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.