Muhammad Firdaus Mohd Fauzi sedikit pun tidak menyangka akan dipelawa menjadi pengapit lelaki perkahwinan rakan baiknya di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Sesudah menamatkan pengajian dalam bidang perubatan, masing-masing dengan hala tuju sendiri menunggu ‘posting’, seorang rakan Shatheswaran Rajadesingi,31, pula sibuk dengan persediaan perkahwinan.

Menariknya Firdaus dan 8 lagi rakan berbangsa Melayu pertama kali diberi peluang merasai pengalaman perkahwinan rakan Hindu.

Memetik perkongsian gambar dalam Twitternya, Firdaus menulis, “Perkahwinan India pertama saya sertai dengan semua pengapitnya terdiri daripada rakan Melayu. Ini, sesuatu yang anda tidak akan lihat setiap masa”.

Buat kali pertama Firdaus bukan sahaja menjadi tetamu sebuah perkahwinan India malah umpama ‘dinaikkan pangkat’ menjadi pengapit atas dasar menghormati persaudaraan yang dibina di kolej.

Bercakap secara lanjut, Firdaus berkata dia dan rakannya diberitahu mengenai perancangan perkahwinan oleh Shathes pada bulan September iaitu sebulan selepas majlis graduasi mereka.

“Kami diberitahu mengenai penglibatan sebagai pengapit pada Oktober dan Shathes mula bertanyakan saiz baju untuk pakaian yang akan dipakai kelak. Dia juga menguruskan segala belanja dari pakaian (jippa dan veshti) hinggalah tempat tinggal, di sebuah hotel di Kluang, Johor,” ujar Firdaus yang tinggal di Ampang, Kuala Lumpur.

Walaupun ada jurang usia, Firdaus yang baru berusia 25 tahun menganggap Shantesh sebagai abang dan mereka sering meluangkan masa bersama ketika di kolej.

Shathes dikatakan lewat menyertai kolej atas alasan kewangan, kerana keluarganya tidak mampu menanggung kos pengajian dan dia terpaksa bekerja mengumpul duit sebelum melanjutkan pelajaran.

Perkahwinan Shantesh diadakan pada 12 Disember dan majlis resepsi pula padda 22 Disember, di mana Firdaus dan rakannya menjadi pengapit.

Firdaus berkata, biarpun berlainan bangsa dan agama, ia tidak menghalang mereka untuk terus bersama khususnya pada hari penting seperti perkahwinan.

“Saya terharu apabila dipilih sebagai pengapit. Ini menunjukkan keikhlasan persahabatan kami semua,” katanya kepada FMT Ohsem.

Teruja dengan sambutan itu, mereka juga diberikan tanggungjawab antaranya mengawal koreografi tarian sebelum pasangan mempelai masuk dewan, mengawasi joki (DJ) dewan, logistik dan meyediakan ucapan sebagai rakan kepada Shatesh.

“Umumnya, kebanyakan perkara diuruskan oleh mempelai dan kami berada di sana untuk memeriahkan majlis dan menjadikan impiannya menjadi realiti,” ujar Firdaus.

Perkongsian Twitter Firdaus mengenai perkahwinan Shatesh dan isteri, Dr Arunna Neelini dikongsi hampir 3,000 kali.