Apabila wanita muda bernama Sharina Manmohan memulakan perniagaan salun kuku pada usia 28 tahun, dia menggunakan sepenuhnya bantuan teknologi pemasaran moden iaitu laman sosial.

Salun kukunya juga tidak beralamat, sebaliknya dijalankan secara mobil, dari satu lokasi ke lokasi lain, seperti mana yang diminta pelanggannya.

Sama seperti perniagaan lain di luar sana, bagi Sharina, pemasaran adalah kuncinya. Kini pada usia 34 tahun, laman sosial Instagram telah banyak membantu mengembangkan perniagaanya yang dinamakan ‘Nails on Wheels’.

“Oleh kerana kami tidak mempunyai kedai kerana saya mahukan perniagaan ini berbeza dari yang lain dan agar ia boleh bergerak, kami berdepan kesukaran membina kesedaran mengenai perniagaan ini.

Dimulakan dengan niat untuk mengurangkan kos, Sharina dan rakan-rakanya menggunakan kaedah tradisional untuk memasarkan perniagaan itu dengan menggunakan risalah.

“Kami tidak sangka menerima pelanggan yang terdiri daripada artis. Merekalah yang mula berkongsi gambar dan perkhidmatan kami di Instagram.”

Dari situ perkhidmatan salun bergerak Sharina semakin dikenali orang ramai dan hari ini, Nails On Wheels mempunyai lebih 20,000 orang pengikut dan popular dalam kalangan selebriti tempatan dan pengguna media sosial.

Pelanggannya yang turut memiliki pengikut yang banyak di media sosial sering berkongsi posting di laman sosial sekaligus menjana ‘pasaran’ bagi perniagaan Nails On Wheels.

Sharina berkata, media sosial telah membantu menjelaskan konsep perniagaanya kepada pelanggan yang berpotensi dan baru kepada Nails On Wheels.

“Pada awalnya, ramai yang keliru mengenai konsep perniagaan yang kami jalankan,” katanya sambil mengakui sebelum ini tiada perkhidmatan kuku dijalankan di rumah pelanggan.

“Kira-kira 5 atau 6 tahun lepas, tiada orang yang akan datang ke rumah anda untuk menawarkan sesuatu perkhidmatan kecuali urut selepas bersalin. Jadi, pada awal perniagaan, pelanggan yang berpotensi pun menunjukkan kebimbangan untuk mencuba.”

Bagaimanapun Instagram terbukti sebagai salah satu cara inovatif untuk membantu beliau mengiklankan perkhidmatan Nails On Wheels secara selamat dan diyakini.

“Instagram adalah platform yang sangat bagus kerana orang akan lihat dan faham apa yang kita lakukan berbanding penjelasan lisan,” katanya yang mengakui aplikasi media sosial sebagai pengaruh kuat kepada usahawan sekarang.

Selain Instagram, perkhidmatan salun kuku yang turut menyediakan khidmat waxing dan urut juga menerima tempahan menggunakan Whatsapp secara harian.

Jelas, perniagaan Sharina menjadi kayu ukur bagi perusahaan kecil dan sederhana tempatan berjaya dengan menggunakan teknologi digital dalam mengembangkan ekonomi kepada tahap yang lebih baik.