Keluarga banduan dihukum gantung berdoa pemansuhan hukuman mati

Seramai hampir 1,300 banduan yang sedang menunggu hukuman mati di Malaysia.

KOTA KINABALU: Keluarga 2 banduan yang sedang menunggu hukuman mati gembira dengan rancangan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati, dan tidak sabar menunggu akta itu diluluskan.

Duis Akim dan Vincent Gisup dijatuhi hukuman mati bersama tertuduh ke-3, Hendry Motutud kerana membunuh seorang kerani 7-Eleven di Penampang pada 2001.

Bagi keluarga, ia menjadi “mimpi ngeri” untuk menunggu pelaksanaan hukuman itu.

Adik perempuan Duis, Angelina berkata pengalaman itu amat sukar bagi kedua-dua keluarga.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan di Mahkamah Tinggi, tetapi ia dibatalkan Mahkamah Rayuan, yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.

“Mereka bebas selama 5 tahun dan kemudian dipenjarakan semula sebelum dijatuhi hukuman mati,” kata Angelina kepada FMT.

Dia berkata episod itu adalah mimpi ngeri dalam kehidupan mereka.

“Kami berasa gelisah, kecewa, sedih dan tidak dapat tidur dengan nyenyak. Apabila kami tidur, kami terbangun memikirkan hukuman yang bakal berlaku.

“Ibu saya boleh bersedih secara tiba-tiba kerana dia terlalu patah hati. Itulah sebabnya kami berdoa pemansuhan itu dilaksanakan,” katanya.

“Kami tidak mengatakan mereka harus dibebaskan, kerana mahkamah memutuskan mereka bersalah. Tetapi jangan menamatkan riwayat hidup orang lain.”

Ibu Duis, Kindayom Jidu, 64, berdoa bersungguh-sungguh agar pemansuhan hukuman mati itu terlaksana.

“Saya sebenarnya sudah putus asa walaupun pelaksanaan belum dijalankan,” kata Kindayom, yang menangis beberapa kali ketika ditemubual.

“Hukuman penjara sudah cukup untuk mereka,” tambahnya.

Duis, Vincent dan Hendry pada mulanya dibebaskan dari pertuduhan pada 10 Julai 2007, selepas perbicaraan yang berlangsung selama 22 bulan, di mana 24 saksi dipanggil.

Lima tahun kemudian, pada 11 Jan 2012, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati ke atas ketiga-tiga tertuduh setelah mendapati mereka bersalah atas tuduhan bersama membunuh Wilfred Thomas, 34, di 7-Eleven di Donggongon, Penampang pada 26 Mei 2001.

Mahkamah membenarkan rayuan itu dan mengetepikan perintah pembebasan oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan tuduhan bersalah dan disabitkan dengan pembunuhan itu.

Mereka disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah Persekutuan kemudian mengekalkan keputusan itu selepas ketiga-tiga mereka gagal dalam rayuan pada Disember tahun yang sama. Mereka menunggu hukuman mati sejak itu.

Seorang lagi adik perempuan Duis, yang enggan dinamakan berkata, dia faham sukar bagi keluarga mangsa untuk menerima pemansuhan hukuman mati.

“Tetapi rayuan kami adalah jika kehidupan seseorang diambil secara tragis, mengapa perlu kehidupan orang juga diambil?

“Kami harap ada pengampunan walaupun kami tahu memaafkan tidak begitu mudah,” katanya.

Rang undang-undang untuk menghapuskan hukuman mati mandatori dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, Jabatan Peguam Negara kini berada di peringkat akhir untuk menyediakan kertas perundangan untuk tujuan itu.

Kabinet memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta akan dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bagi membunuh).

Akta itu ialah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata Api 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehingga Oktober tahun ini, terdapat seramai 65,222 banduan, termasuk 1,281 banduan yang sedang menunggu hukuman mati.